Politik
Tiada kerjasama UMNO-Pas selagi dipimpin Abdul Hadi – Ahmad Zahid
UMNO tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan Pas selagi Presidennya adalah Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Perkara itu ditegaskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ekoran pengalaman bekerjasama dengan parti tersebut sebelum ini yang menyaksikan banyak keputusan bersama di antara kedua-dua parti dikhianati Pas.
“Pas ini membohong dari dulu sampai sekarang. Saya ini saksi hidup bincang empat mata dengan Hadi Awang. Sewaktu berdepan kita setuju, tetapi esok tukar, tidak setuju.
“Jangan percayalah, selagi orang itu jadi presiden. Jangan harap kita hendak bekerjasama dengan parti yang menunggang Islam,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar 2024 di Dewan Jubli Perak di Kuala Kangsar, hari ini.
Sebaliknya kata beliau, rakan-rakan dari parti Pakatan Harapan (PH) ikhlas bekerjasama sama ada di dalam kerajaan mahupun gerak kerja politik.
Ahmad Zahid berkatam, ia terbukti menerusi kerjasama dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.
Ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan di Perak, jata Ahmad Zahid, biarpun Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi PH mahu Menteri Besar dipilih dalam kalangan pemimpin BN.
Katanya, situasi yang sama berlaku di Pahang apabila PH turut sedia menerima Menteri Besar daripada BN.