
Sukan
Lee Zii Jia, Aaron-Wooi Yik tersingkir awal di All England
KECEDERAAN buku lali pada Disember lalu yang masih belum pulih menyebabkan pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama kejohanan All England.
Zii Jias tumpas di tangan pemain bukan pilihan dari Hong Kong Angus Ng Ka Long awal pagi tadi.
Dalam perlawanan pembukaan di Utilita Arena, Birmingham itu, Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh bermula baik, apabila menang set pertama 21-19.
Tetapi rentak itu gagal diteruskan Zii Jia apabila dalam dua set berikutnya sekali gus memberi ruang Ka Long berjaya bangkit untuk menang 21-16, 21-12, dalam aksi yang berlangsung lebih satu jam.
Zii Jia mengakui pergerakannya sedikit terbatas pada aksi tersebut, memandangkan beliau masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali yang dialaminya pada Disember lalu.
“Saya ingat saya telah bersedia untuk jelajah Eropah ini, kerana saya telah jalani latihan penuh selama dua minggu sebelum datang ke sini.
“Kecederaan ini ambil masa lebih daripada yang saya jangka,” katanya
Sementara itu dalam kategori beregu lelaki menyaksikan dua lagi pasangan negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terkandas di pusingan pertama, selepas tewas pada lawan masing-masing.
Aaron-Wooi Yik tewas mengejut kepada gandingan Denmark Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard 16-21, 21-16, 21-18, manakala Yew Sin-Ee Yi akur tumpas kepada pasangan tuan rumah Ben Lane-Sean Vendy 21-18, 21-19.
.