Ekonomipilihan

Tiada keperluan mendesak jual pegangan MAHB kepada syarikat asing – Radzi Jidin

TINDAKAN Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjual 30 peratus saham kepada syarikat asing disifatkan sebagai mencurigakan.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, lagi pula pada masa ini tiada sebarang keperluan mendesak untuk menjual pegangan MAHB kepada syarikat asing.
Oleh itu beliau menyifatkan tindakan kerajaan yang dilihat terlalu gelojoh untuk mengeluarkan MAHB daripada Bursa Malaysia melalui konsortium yang diketuai Khazanah, bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Global Infrastructure Partners (GIP) yang berpangkalan di New York, dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA), sedangkan syarikat itu memiliki potensi besar.
“Adalah janggal apabila jumlah peratusan pegangan saham oleh ADIA dan GIP tidak dinyatakan dengan jelas di dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan dan seharusnya bagi satu tawaran besar sebegini, struktur pemilikan adalah jelas daripada awal tawaran.
“MAHB bukan sebuah syarikat yang rugi dan bermasalah, bagi tahun kewangan 2023, kumpulan itu mencatatkan keuntungan sebanyak RM543 juta dengan jumlah tunai di dalam akaun sebanyak RM1.845 billion.
“Jadi di mana rasionalnya keputusan menggadaikan blok 30% saham MAHB ini? Kalau hendak dikatakan MAHB membebankan, tentunya tidak.
“Amat jelas bahawa tiada keperluan mendesak untuk menjual blok 30% saham MAHB kepada syarikat asing. Siapa sebenarnya yang akan mendapat manfaat dan mengaut keuntungan daripada urus niaga ini?,” katanya dalam satu kenyatan, hari ini.
Katanya, daripada segi aset logistik, khususnya di Asia, ia menjadi buruan pelbagai pihak kerana kedudukan geografi Malaysia yang strategik menjadikan ramai pihak ingin mencari peluang memiliki asset strategik di rantau ini.
Mengambil contoh negara serantau seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam, beliau berkata, syarikat yang menguruskan lapangan terbang di negara tersebut dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan atau dimiliki sebahagian besarnya oleh kerajaan tanpa diberikan satu blok saham yang besar kepada syarikat asing.
“Kalau hendak dikatakan MAHB tiada kepakaran, mereka mempunyai pengalaman yang cukup panjang dan kedudukan kewangan yang baik, termasuk menguruskan Istanbul Sabiha Gokçen International Airport di Turkiye. Jika perlukan kepakaran juga, apakah kepakaran tersebut tidak boleh diperoleh tanpa menggadaikan blok 30 peratus saham MAHB kepada syarikat asing,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button