Thailand laksana perintah berkurung mulai esok
THAILAND mengumumkan perintah berkurung antara pukul 10 malam hingga 4 pagi berkuat kuasa mulai esok.
Kerajaan Thailand, dalam satu kenyataan hari ini, berkata tindakan itu bertujuan mengekang penularan COVID-19 secara lebih tegas.
Beberapa pengecualian diberikan, umpamanya bagi penghantaran barangan keperluan perubatan, penghantaran mereka yang diletakkan di bawah kuarantin, pesakit dan kakitangan perubatan.
Difahamkan, Perdana Menteri Thailan, Jeneral Prayuth Chan o-cha, akan membuat pengumuman berkaitan hari ini.
Setakat ini, Thailand merekodkan 104 kes baharu COVID-19 dan tiga kematian, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,875 kes dan 15 kematian.
Prayuth juga mengarahkan Kementerian Luar untuk mengurangkan bilangan rakyat Thailand dan warga asing melancong ke Thailand.
Kesemua penumpang, kecuali mereka yang mendapat keizinan terlebih dulu atau sebelum langkah ini, sekiranya boleh, diminta tangguhkan rancangan perjalanan mereka ke Thailand.
Sekurang-kurangnya 19 rakyat Thailand diuji positif COVID-19 selepas pulang dari Indonesia untuk menghadiri perhimpunan keagamaan yang dibatalkan pada saat akhir.
Dengan pelaksanaan perintah berkurung oleh Thailand, ia menjadikan lebih separuh daripada penduduk dunia yang berjumlah 7.8 bilion telah diarahkan berada dalam rumah bagi membendung wabak Covid-19.
Wabak yang telah menjangkiti lebih satu juta penduduk dunia itu masih belum dapat dibendung dengan situasi di Amerika Syarikat dan Eropah terus kritikal.
Itali yang menjadi negara yang paling teruk terjejas yang mencatatkan angka kematian paling tinggi di dunia diikuti oleh Sepanyol dan Amerika Syarikat. – AGENSI