Terpaksa berhenti kerja jaga ibu bapa dan anak jantung berlubang
TERPAKSA berhenti kerja sebagai pembantu stor demi menjaga anak yang sakit serta menjaga ibu bapa berusia lebih 70 tahun.
Itulah yang terpaksa dilakukan Siti Norfadila Tahir yang kini terpaksa menjalani kehidupan dengan bantuan Baitulmal sebanyak RM400 sebulan.
Menurut Norfadila, dia tiada pilihan selain berhenti kerja memandangkan anaknya memerlulak perhatian yang cukup rapi.
“Anak saya, Raudhah Adawiyah berusia 6 bulan dan menghidap penyakit jantung berlubang dan congenital hydrocephalus (cecair di dalam kepala yang mengakibatkan saiz kepala menjadi besar).
“Ibu bapa juga tinggal bersama saya dan mereka juga sudah berusia serta perlukan perhatian,” katanya yang tinggal di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Prihatin dengan apa yang berlaku, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar tampil memberikan bantuan.
Kamarudin sempat singgah ke rumah berkenaan untuk melihat dan mendengar sendiri masalah yang dihadapi keluarga tersebut.
“Kita telah menyampaikan bantuan daripada segi kewangan, susu, lampin pakai buang dan barangan dapur kepada keluarga adik Raudhah,” katanya.
Menurut Kamarudin, pihaknya memandang serius kebajikan rakyat di dalam Parlimen Bandar Tun Razak.
Malah, beliau juga akan berusaha untuk membantu mana-mana pihak yang memerlukan bantuan supaya setiap masyarakat dapat menjalani kehidupan dengan baik.
“Kerjasama dengan semua pihak seperti persatuan penduduk, Majlis Perwakilan Penduduk, jabatan-jabatan kerajaan amat penting untuk mengesan mana-mana keluarga atau individu yang memerlukan bantuan supaya tidak keciciran,” jelasnya.
Mana-mana pihak yang ingin membantu Raudhah Adawiyah boleh menyalurkan sumbangan kepada ibunya nombor akaun 164762050571 (Maybank). -SM