Tergamak bunuh lima anak kerana cemburu
SEORANG ibu kejam dipenjara seumur hidup kerana membunuh lima anaknya selepas melihat gambar suaminya bersama pasangan barunya.
Menurut laporan Mirror, ibu kejam berumur 28 tahun yang dikenali dengan nama Christiane K itu dikatakan telah melemaskan atau mencekik lima anaknya di apartmen miliknya di Solingen, Jerman pada 3 September tahun 2020.
Mahkamah daerah Wuppertal mendengar bahawa dia memberi dadah kepada Melina berumur satu tahun, Leonie, 2, Sophie, 3, Timo, 6, dan Luca yang berumur lapan tahun sebelum melemaskan mereka di dalam tab mandi.
Selepas melakukan pembunuhan itu, dia membalut tubuh mereka dengan tuala dan meletakkan mereka di atas katil.
Anak lelaki sulungnya yang ketika itu berusia 11 tahun terselamat kerana tiada di rumah semasa kejadian.
Detektif mendakwa dia membunuh anak-anaknya selepas melihat foto suaminya bersama pasangan baharu di sisinya.
Dia menghantar mesej kepada suaminya untuk memberitahu dia tidak akan berjumpa dengan anak-anaknya lagi sebelum melakukan pembunuhan mengerikan itu.
Christiane K. cuba membunuh dirinya dengan melompat di hadapan kereta api di Stesen Sentral Düsseldorf tetapi dia terselamat.
Pakar psikiatri dan psikologi yang dilantik oleh mahkamah tidak menemui bukti bahawa dia mengalami gangguan mental serius pada masa itu.
Mahkamah turut mendengar dia mendakwa bahawa orang yang tidak dikenali menceroboh rumahnya, menggarinya, memaksanya menaip mesej tersebut kepada suaminya sebelum membunuh anak-anaknya.
Mahkamah mendengar lebih 40 saksi sepanjang 20 hari perbicaraan sebelum Christiane K. didapati bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.
Anak lelakinya yang masih hidup dipercayai berada di bawah jagaan neneknya. – SM