Terbuka Indonesia: Zii Jia tepati ramalan mara ke separuh akhir
JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menepati ramalan mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Indonesia 2022 selepas menumpaskan pemain Singapura, Loh Kean Yew dalam aksi suku akhir penuh dramatik.
Pada pertemuan di Stadium Istora Senayan Jakarta, Zii Jia yang merupakan pemain nombor lima dunia dipaksa bekerja keras dalam pertarungan selama 65 minit sebelum berhasil menoktahkan kemenangan 21-18, 16-21, 22-20 ke atas Kean Yew yang menghuni ranking kesembilan dunia.
Kejayaan itu menyaksikan Juara All-England 2021 itu bakal berdepan pemenang satu lagi perlawanan suku akhir antara wakil tuan rumah, Anthony Sinisuka Ginting dan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dari Denmark hari ini dalam penentuan ke final.
“Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan, saya akan berikan yang terbaik.
“(Dalam aksi ini) saya kena lawan, tiap kali bertemu dia (Kean Yew) pasti sengit, lagi-lagi apabila saya rasa dia beraksi dengan baik dalam kejohanan ini, saya rasa dia mula dapat keyakinannya semula dan bermain dengan stabil,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Turut melangkah ke separuh akhir adalah beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas mengatasi pasangan bukan pilihan dari Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan 14-21, 21-12, 22-20.
Pada aksi tersebut, “tuah” dilihat menyebelahi gandingan negara yang menduduki ranking ketujuh dunia apabila Yeremia Erich terseliuh ketika Indonesia mendahului 20-18 di set ketiga.
Situasi itu memaksa Pramudya seakan beraksi seorang diri, apabila pasangannya yang cedera tetap ingin meneruskan aksi, biarpun terhincut-hincut di gelanggang, sekali gus kesempatan itu digunakan Aaron-Wooi Yik untuk mengutip empat mata berturut-turut dan memenangi perlawanan.
Menanti gandingan negara yang diletakkan sebagai pilihan kelima di pentas separuh akhir adalah antara pasangan tuan rumah, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto atau Liu Yu Cheng-Ou Xuan Yi dari China yang akan berentap dalam satu lagi aksi suku akhir.
Sementara itu, cabaran Malaysia dalam saingan beregu campuran berakhir selepas kedua-dua pasangan negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie-Valeree Siow terkandas di suku akhir.
Pang Ron-Ee Wei tunduk 16-21, 19-21 kepada pasangan Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung, manakala Tang Jie-Valeree tewas di tangan pilihan keempat, Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China 12-21, 14-21. – SM