Politik

Sebatan Syariah: Majlis Peguam perlu hormat integriti Mahkamah Syariah Malaysia

MAJLIS Peguam diingatkan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan supaya tidak dilihat bersifat berat sebelah dan penuh prejudis terhadap institusi Mahkamah Syariah.

Pengerusi Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, jnganlah sehingga rakyat Malaysia berpandangan bahawa Majlis Peguam Malaysia seringkali bersifat berat sebelah dan penuh prejudis, dalam krisis pertembungan antara nilai tempatan dan agama, dengan nilai Barat yang terus-terusan menggila.

“Pada 26 Disember 2024, Majlis Peguam Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan media melalui Presiden Majlis Peguam menyentuh isu hukuman sebat di khalayak ramai yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu pada 20 November 2024 yang lalu menurut peruntukan Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir)(Terengganu) 2001, dan pindaan pada tahun 2022 atas kesalahan khalwat berulang.

“Presiden Majlis Peguam menyatakan bahawa hukuman sebat di khalayak tersebut bukan sahaja melampaui kuasa yang diperuntukkan melalui Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355), bahkan merupakan satu hukuman yang ‘inherently cruel, inhumane, and degrading’. LUHAM melahirkan rasa kekecewaan yang amat mendalam terhadap kenyataan tersebut, kerana nampaknya bukan sahaja Majlis Peguam selaku badan yang dipertanggungjawab sebagai pemantau ‘rule of law’ gagal membuat kenyataan berdasarkan kajian akademik dan undang-undang, bahkan menzahirkan pula pertimbangan yang amat berat sebelah dan prejudis dalam membuat pemantauan tentang nilai dan moral masyarakat.

“Pertama, Majlis Peguam sendiri mengakui bahawa Akta 355 tidak memperuntukkan secara khusus mengenai kaedah hukuman sebat yang boleh dijalankan, terutamanya dari segi tempat hukuman sebat tersebut akan dijalankan, dan hanya menyatakan tentang jumlah sebatan. Oleh yang demikian, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mempunyai kuasa untuk memerintahkan tempat sebatan dilakukan, selagi mana tidak melanggar peruntukan khusus Akta 355,” katanya dalam kenyataan.

Wan Rohimi juga berkata, Majlis Peguam juga tentu tahu dan sedar bahawa, selama penguatkuasaan hukuman sebatan syariah berlangsung di negara ini, kaedah sebatan syariah yang digunakan ternyata jauh berbeza dengan sebatan sivil, yang menurut Siti Zubaidah (2014) [Pemerkasaan Mahkamah Syariah Dalam Pengurusan Kes Jenayah Syariah.

Katanya, berdasarkan Jurnal Hukum. JH (38) Bhg. 1.], sebatan syariah langsung tidak menyebabkan kecederaan berbanding sebatan sivil yang boleh sehingga membawa kematian.

“Seksyen 125 dan 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Terengganu 2001 memperjelaskan bahawa rotan yang digunakan dalam sebatan syariah adalah daripada rotan atau ranting kayu yang tidak mempunyai ruas atau buku, dengan panjang tidak melebihi 1.22 meter dan tebal diameter tidak melebihi 1.25 sentimeter.

“Cara sebatan juga adalah dengan kekuatan  yang sederhana dan tidak sampai mencederakan. Tatacara lain yang begitu mementingkan keadilan kepada pesalah seperti pemeriksaan perubatan, penangguhan sekiranya hamil dan pakaian mengikut hukum syarak juga diperuntukkan.

“Oleh yang demikian, langsung tidak timbul isu bahawa sebatan syariah yang dilaksanakan merupakan satu hukuman yang ‘inherently cruel, inhumane, and degrading’, berbanding hukuman sebatan sivil, yang tidak pernah pula dibantah atau dibentak oleh Majlis Peguam.

“Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad bin Ibrahim Ibrahim (1978) menyatakan dalam magnum opusnya ‘Hukuman Sebat Dalam Undang-undang Islam dan Undang-Undang Awam di Malaysia’ bahawa ‘hukuman sebat dalam Islam adalah hukum Allah, bukan ciptaan manusia’.

“Kedua, hukuman sebatan syariah yang dilaksanakan di khalayak umum adalah prinsip utama kepada hukuman syariah yang bersifat mendidik dengan hadirnya rasa malu kepada pesalah yang telah melakukan kesalahan tidak moral. Hamdani et. al (2021) [dalam kajian mereka tentang pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai Kesan Hukuman Sebat terhadap Pesalah Jenayah Syariah di Aceh. ISLĀMIYYĀT 43(Isu Khas) 2021: 79 – 92] di Acheh menyimpulkan bahawa: “Tujuan daripada pelaksanaan hukuman sebat Syariah takzir di Aceh pada dasarnya adalah untuk menimbulkan rasa malu terhadap pesalah. Perasaan malu tersebut juga memberikan kesan yang mendalam terhadap pesalah yang dihukum sebat selain daripada rasa sakit itu sendiri akibat kesakitan yang dialami oleh pesalah. Selain dari itu, hukuman sebat yang telah dilaksanakan dapat memberikan pengajaran kepada pesalah sendiri dan orang ramai yang melihat hukuman sebat tersebut dilaksanakan. Hukuman sebat juga dapat memberi keinsafan kepada para pesalah agar tidak mengulangi lagi melakukan kesalahan. Akhir sekali, pelaksanaan hukuman sebat di Aceh telah mencapai matlamat atau objektif pelaksanaan hukuman sebat itu sendiri sebagai satu bentuk penghukuman dalam jenayah Islam”.

“Ketiga, Majlis Peguam menyatakan bahawa hukuman sebatan di khalayak ramai juga bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tentang hak untuk hidup dan kebebasan peribadi. Kenyataan ini adalah satu kenyataan yang benar-benar membingungkan kerana timbul persoalan apakah Majlis Peguam berpendirian bahawa segala hukuman sebatan yang diperuntukkan di bawah undang-undang persekutuan termasuk Kanun Keseksaan juga bertentangan dengan Perkara 5?

“Sekiranya elemen ‘di khalayak ramai’ merupakan isunya, apakah hak untuk hidup dan kebebasan peribadi yang telah dilanggar di bawah Perkara 5 tersebut? Sedangkan wujud juga hukuman-hukuman lain yang perlu dijalankan di khalayak ramai termasuk khidmat komuniti sebagai hukuman alternatif. Tidakkah ini juga menyebabkan rasa malu?

“Bahkan hukuman penjara yang mengasingkan seorang pesalah daripada keluarganya juga sudah menimbulkan rasa malu bukan sahaja kepada pesalah tersebut bahkan kepada keluarga pesalah bertahun-tahun lamanya.

“Mohd Suhaimi et. al (2024) dalam artikelnya ‘Hubungan di antara Stigma Sosial dan Sokongan Sosial terhadap Penglibatan Aktiviti Masyarakat dalam kalangan Bekas Banduan’ menyatakan bahawa cabaran paling besar kepada bekas banduan adalah stigma tidak diterima dan dipinggirkan oleh masyarakat.

“Murray (2005) dalam kajiannya bertajuk ‘The effects of imprisonment on families and children of prisoners’ pula menyimpulkan kesan teruk kepada isteri pesalah yang dipenjarakan adalah merangkumi krisis stigma dan juga perpecahan keluarga. Manakala kesan kepada kanak-kanak pula adalah kelakuan anti-sosial. Tidakkah ini semua adalah faktor malu? Apakah ia juga bertentangan dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan?

“Keempat, Majlis Peguam Malaysia menyatakan bahawa hukuman sebatan syariah di khalayak ramai tersebut juga bertentangan dengan United Nation Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (UNCAT).

“Ini juga adalah pandangan yang tersasar sama sekali kerana definisi ‘torture’ menurut Artikel 1 UNCAT ialah ‘sebarang tindakan yang menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang teruk, sama ada secara fizikal atau mental…’ manakala hukuman sebatan syariah telah dibuktikan tidak pun mencederakan atau menyebabkan penderitaan mental yang teruk.

“Berkenaan dengan ‘Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Purnishment’ pula, Kisahi & Rohaida (2021) [A move towards UNCAT accession by Malaysia: challenges and prospects. Jurnal Undang-Undang dan Masyarakat. (2021) 28 JUUM 104 – 113] menyatakan bahawa belum ada definisi yang tepat mengenai perkara tersebut di bawah undang-undang antarabangsa.

“Namun, Majlis Peguam Malaysia pantas menyatakan bahawa sebatan syariah yang langsung tidak mencederakan tersebut ‘contravenes international human rights principles including those enshrined in the UNCAT’.

“Walau pun ada terdapat negara-negara Islam yang telah meratifikasi UNCAT, namun pendirian negara lain tidak boleh dijadikan sandaran muktamad untuk Malaysia menerima UNCAT. Untuk rekod, negara-negara jiran seperti Singapura juga belum menandatanganinya sedangkan Brunei dan India pula belum meratifikasikannya.

“Kelima, ternyata apabila timbul isu berkenaan dengan Mahkamah Syariah dan undang-undang syariah di negara ini, maka Majlis Peguam Malaysia adalah yang paling bingkas bangun untuk mempertikai. Hukuman sebatan syariah yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu tersebut adalah hukuman yang dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Sehinggalah ia dicabar atas apa jua alasan, keputusan itu adalah satu keputusan kehakiman yang berintegriti dan tidak sewajarnya dikritik sebegitu rupa oleh watak yang sentiasa melabel dirinya sebagai pemantau ‘the rule of law’, apatah lagi menyatakan bahawa hukuman yang diberikan adalah ‘inherently cruel, inhumane, and degrading’.

“Tidakkah itu menunjukkan betapa tidak hormatnya Majlis Peguam Malaysia kepada integriti kehakiman syariah di Malaysia?

“LUHAM ingin mengingatkan Majlis Peguam Malaysia supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan tanpa asas yang kukuh, dan menghormati sistem kehakiman syariah di Malaysia. Janganlah sehingga rakyat Malaysia berpandangan bahawa Majlis Peguam Malaysia seringkali bersifat berat sebelah dan penuh prejudis, dalam krisis pertembungan antara nilai tempatan dan agama, dengan nilai Barat yang terus-terusan menggila.” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button