Tentera Laut Thailand bagi alasan Malaysia untuk mereka beli tiga kapal selam
Dalam keadaan Covid-19, perbelanjaan pertahanan armada bukan prioritas
MENJAGA keharmonian sesama jiran tetangga itu penting tetapi menjadikan Malaysia sebagai alasan oleh pihak tentera laut Thailand dalam mendesak pembelian tiga kapal selam buatan China adalah satu alasan yang dilihat boleh mencalarkan hubungan dua-hala antara dua negara.
Menurut Pakar Pertahanan seperti mana dilaporkan oleh FMT, Lam Choong Wah, hubungan Malaysia dengan Thailand adalah dalam keadaan baik dan tidak ada konflik besar dengan Thailand berhubung perjanjian pembangunan bersama di Teluk Thailand.
Bahkan kata Choong Wah lagi, kedua-dua negara mungkin melanjutkan perjanjian itu selepas ia tamat tempoh.
Pada pandangan Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan pula, beliau percaya tentera laut Thailand menggunakan Malaysia dalam mewajarkan pembelian kapal selam mereka kerana krisis Covid-19, menjejaskan ekonomi negara itu dan ramai yang menganggap perbelanjaan untuk pertahanan tidak penting.
Dua pakar itu berkata demikian susulan laporan South China Morning Post berhubung tindakan pihak tentera laut Thailand yang berhasrat untuk membeli tiga kapal selam serangan buatan China.
Laporan itu turut memetik Ketua Jabatan Operasi tentera laut Thailand sebagai berkata, negara itu akan mempunyai lebih banyak kuasa tawar-menawar ketika memulakan rundingan dengan Malaysia berhubung perjanjian pembangunan bersama itu.
Perjanjian itu akan berakhir 2029 tetapi Choong Wah memberitahu FMT, kedua-dua negara mungkin melanjutkan perjanjian itu.
“Malaysia dan Thailand berkongsi manfaat 50:50, yang bermakna tiada pihak didiskriminasi dan kedua-dua negara sangat gembira dengan persetujuan ini.
“Oleh itu, tiada alasan menggantikan perjanjian yang baik ini dengan perjanjian kurang memuaskan,” kata beliau.
Choong Wah berkata, diplomasi paksaan bertentangan prinsip Asean dan diplomasi kapal selam tidak akan digunakan sebagai kelebihan untuk rundingan itu.
Sementara Azmi Hassan pula berkata: “Memang benar setiap negara yang mempunyai wilayah maritim memerlukan kapal selam sebagai kedudukan pertahanan strategik.
“Lebih-lebih lagi Malaysia memiliki dua tetapi untuk berbuat demikian sekarang, bukanlah masa tepat bagi Thailand”.
Menurut laporan itu lagi, Thailand memilih kapal selam China selepas mempertimbangkan tawaran dari Jerman, Korea Selatan, Rusia, Sweden dan Perancis.
Berdasarkan syarat perjanjian kerajaan dengan kerajaan (G to G), sebuah konglomerat pembinaan kapal milik kerajaan China akan membina dan menjual tiga kapal selam itu pada harga 2 atau 36 bilion baht (AS$1.16 bilion), menurut laporan itu.
Ditanya jika Malaysia perlu menambah armada tentera lautnya, Azmi berkata:
“Bukan secara ad hoc untuk melawan kapal selam baharu Thailand. Sekarang bukan masa terbaik untuk menaik taraf walaupun wujud isu Laut China Selatan.” – SM