Anak penyanyi Malaysia ditahan telibat curi kereta mewah
DUNIA hiburan tanah air dikejutkan dengan penahanan anak kepada seorang penyanyi tempatan terkenal yang disyaki terbabit dalam sindiket curi kenderaan mewah, termasuk sebuah Ferrari milik ahli perniagaan terkemuka dalam industri penerbangan.
Kejadian dilaporkan berlaku pada 17 November lalu apabila ahli perniagaan tersebut, yang berusia 50-an, meminta pekerjanya menghantar Ferrari itu ke pusat cucian kereta di Hulu Klang.
Namun, pekerja itu terkejut apabila mendapati kenderaan bernilai jutaan ringgit itu lesap secara misteri.
Selepas siasatan giat dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ampang Jaya berjaya menemui semula Ferrari tersebut di lot parkir sebuah kediaman mewah di Taman Tunku pada 25 November.
Penemuan itu membawa kepada penahanan seramai enam suspek berusia antara 23 hingga 40 tahun di lokasi berbeza seperti Ampang Jaya, Kajang, Hulu Klang, dan Jeli, Kelantan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, turut menahan seorang wanita
“Kami turut menahan seorang wanita tempatan berusia 40-an untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.”
Siasatan turut mendedahkan salah seorang suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah. Ujian air kencingnya pula positif methamphetamine dan amphetamine.
Lebih mengejutkan, polis turut merampas tiga kenderaan lain – BMW X5, Naza Suria, serta alat kawalan jauh kereta berlogo BMW, Honda, dan Toyota.
“Selain itu, kad akses unit kediaman turut dirampas, dan usaha masih diteruskan untuk mengesan rakan sejenayah yang masih bebas,” tambah Datuk Hussein.
Setakat ini, tiga suspek telah dibebaskan dengan jaminan, manakala dua lagi ditahan reman sehingga 27 November. Seorang lagi suspek akan direman sehingga 3 Disember.