Luar Negara

Tentera India digesa berundur dari Maldives menjelang 15 Mac – Mohamed Muizzu

MALDIVES menggesa India supaya mengundurkan tentera dari wilayahnya menjelang 15 Mac ini, kata seorang pegawai hari ini, dalam satu langkah yang akan mengeruhkan lagi hubungan antara negara jiran Asia Selatan itu.

Presiden, Mohamed Muizzu memenangi pilihan raya tahun lalu dengan ikrar untuk menamatkan dasar ‘India didahulukan’ di Maldives, wilayah di mana New Delhi dan Beijing bersaing untuk mendapatkan pengaruh.

Kontinjen kecil dengan kira-kira 80 tentera India ditempatkan di kepulauan Lautan Hindi itu untuk memberi sokongan bagi peralatan ketenteraan yang diberikan New Delhi kepada Maldives dan membantu dalam aktiviti kemanusiaan di rantau ini.

Muizzu mencadangkan pengunduran tentera itu dalam perbincangan di kementerian luar antara delegasi kanan kedua-dua negara.

“Dalam pertemuan ini, bagi pihak Presiden Muizzu, delegasi Maldives mencadangkan pengunduran tentera India menjelang 15 Mac.

“Tarikh ini sudah dicadangkan dalam agenda oleh kerajaan dan khususnya presiden. Perbincangan ini sedang berjalan,” kata Pengarah Dasar di Pejabat Presiden, Ahmed Nazim kepada pemberita.

Dalam kempennya, Muizzu menyifatkan pengaruh besar New Delhi sebagai ancaman kepada kedaulatan dan berjanji untuk menyingkirkan tentera India.

“Perkara paling penting untuk diperhatikan di sini adalah tentera India tidak boleh tinggal di Maldives. Itu dasar kerajaan ini. Ia juga ikrar presiden dan apa yang rakyat Maldives mahukan,” kata Ahmed.

Jurucakap kementerian luar India tidak segera memberikan maklum balas ketika diminta mengulas perkara itu.

China dan Maldives meningkatkan hubungan mereka ketika lawatan negara pertama Muizzu ke Beijing minggu lalu, dengan bersetuju kepada ‘perkongsian kerjasama strategik komprehensif’ yang menyediakan pentas untuk gergasi Asia itu meningkatkan pelaburannya di Maldives.

Maldives berhutang dengan China sebanyak AS$1.37 bilion (RM6.3 bilion)atau kira-kira 20 peratus daripada hutang awamnya, menurut data Bank Dunia. – REUTERS

BACA Malaysia Dan Maldives Bakal Tingkatkan Kolaborasi Serta Potensi Kerjasama

BACA 15 guru Maldives ikuti latihan perkembangan profesional guru di UPSI

(Visited 59 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button