Tawaran ditarik hanya kerana bertudung
SATU daripada cabaran yang selalu menghantui penggiat seni sama ada pelakon atau penyanyi daripada tampil berhijab adalah tawaran kerja.
Ramai selebriti wanita yang tampil berhijab berkongsi pengalaman kekurangan kerja akibat penampilan baharu mereka yang disifatkan kurang sesuai dalam dunia seni.
Terbaharu, ahli kumpulan De Fam, Cik Manggis yang mengambil keputusan untuk berhijab juga berhadapan dengan cabaran sama.
Menurut Cik Manggis atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin, 31, ada pihak yang menarik semula tawaran berlakon kerana penampilan baharunya itu.
“Memang ada pihak yang menarik semula tawaran berlakon dalam sebuah drama selepas mengetahui saya kini tampil berhijab.
“Tetapi itu tidak mengapa. Saya serahkan hal rezeki kepada Allah dan tidak pernah rasa bimbang sekalipun berkenaan hal ini,” katanya seperti dilaporkan Mstar.
Menurutnya, walaupun ada tawaran kerja yang ditarik balik, itu tidak menghalang rezekinya untuk menerima tawaran kerja-kerja yang lain.
Ujarnya lagi, dirinya sentiasa reda dan tenang selepas tampil berhijab dan dia juga percaya apa sahaja yang berlaku adalah di atas ketentuan Allah.
Menurutnya lagi, penghijrahan itu juga membuatkan suaminya, Syazmin Firdaus Aminuddin gembira dan dalam masa yang sama membuatnya tenang berhadapan dengan sebarang dugaan.
“Apa yang penting suami saya gembira dengan kehidupan kami kini. Kehidupan saya khususnya memang berubah tetapi saya tetap menjadi diri sendiri,” jelasnya.
Cik Manggis mula mengubah penampilannya kepada seorang wanita berhijab pada akhir Jun lalu dan tidak menghebahkan kepada umum mengenai perubahannya.
Jelasnya, soal penghijrahannya adalah sesuatu yang sangat peribadi untuk dihebahkan namun tidak menolak untuk berkongsi jika ada yang bertanya.
Cik Manggis juga memilih untuk merahsiakan alasan besar yang membuatkan dirinya berhijab sebaliknya hanya memberitahu mahu menjadi seorang yang lebih baik. -SM