fbpx
Nasional

KPM boleh tutup sekolah tanpa tunggu penilaian KKM

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) wajar menggunakan kebenaran yang diberikan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup sekolah.

Ini kerana, ibu bapa pelajar sekolah di seluruh negara melahirkan kebimbangan terhadap penularan gelombang ketiga Koronavirus (Covid-19).

Akibat tersebut, ramai ibu bapa dan penjaga membuat keputusan untuk mencutikan anak mereka sementara sehingga kebimbangan mereka terhadap situasi pandemik reda.

Justeru, menerusi mesyuarat tersebut, KPM diberi kebenaran untuk menutup sekolah di seluruh negara jika terdapat guru atau murid yang positif Coid-19 tanpa perlu menunggu penilaian daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kes-kes baharu Covid-19 di Selangor dan Wilayah Persekutuan juga turut dibincangkan. Ini termasuk kes yang melibatkan murid di Sekolah Kebangsaan Bangsar.


“Mesyuarat bersetuju supaya Kementerian Pendidikan mengeluarkan arahan menutup sekolah jika terdapat guru atau murid yang disahkan positif COVID-19 tanpa menunggu penilaian risiko oleh KKM.”

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas MKN.

Berdasarkan kenyataan sama, beliau dilihat menfokuskan kepada pembendungan pandemik di Sabah susulan berlaku peningkatan kes baharu seramai 274 orang.

Oleh demikian, mesyuarat berkenaan bersetuju supaya semua sekolah di seluruh Sabah ditutup sementara.

Bagi tujuan pembendungan pula, beberapa strategi termasuk bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia untuk menambah kemudahan rawatan bagi pesakit Covid-19.

Malah, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) turut digesa untuk melipatgandakan usaha membanteras kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang masuk ke Sabah.

“Mesyuarat juga memberi tumpuan khusus kepada situasi di Sabah.

“Memandangkan kes-kes di negeri ini masih menunjukkan peningkatan, mesyuarat bersetuju supaya KPM meneliti keperluan untuk menutup sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah.

“Kapasiti hospital untuk merawat pesakit Covid-19 di negeri Sabah juga dibincangkan.

“Mesyuarat bersetuju supaya KKM berbincang dengan ATM untuk mendapatkan bantuan dari segi kemudahan perubatan yang boleh ditawarkan oleh Kor Perubatan ATM.

“Saya juga telah mengarahkan Imigresen supaya memberi keutamaan kepada pengurusan PATI di Sabah yang menjadi antara punca merebaknya pandemik Covid-19 di negeri tersebut.

“Ini termasuk keperluan meningkatkan kapasiti depot tahanan Imigresen untuk menempatkan PATI yang ditahan dan memastikan semua tahanan tidak terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19,” ujarnya.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kes baharu Covid-19 seramai 352 orang.

Daripada jumlah tersebut, Sabah mencatatkan jangkitan tertinggi diikuti Selangor 24 kes, sementara Kedah pula keadaan dilaporkan mulai reda dengan catatan sebanyak 10 kes. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button