Nasional

Tarikan pekerjaan faktor PATI seludup ke Malaysia

EKONOMI negara yang kembali rancak telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan menjadi faktor peningkatan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sempadan Malaysia- Thailand sejak akhir-akhir ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, setakat ini banyak tangkapan dilakukan di kawasan sempadan sejak Disember tahun lalu.

Menurut Kamarul, ada yang mencari peluang masuk ke Malaysia sehingga sanggup memasuki kawasan jalan yang sah atau berpagar dan memasuki kawasan kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum berjaya ditangkap.

“Pihak kami sentiasa bekerjasama dengan pasukan Op Benteng dengan melakukan operasi khas untuk memastikan kumpulan PATI dan tekong darat tidak terlepas walaupun mereka berjaya melepasi lapisan pertama di sempadan,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh hujung tahun lalu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) telah menahan 20 orang termasuk tiga tekong darat rakyat tempatan yang membawa 17 PATI. Mereka berjaya ditahan di Plaza Tol Hutan Kampung.


“Pada 22 Disember lalu, 13 PATI ditahan bersama tiga tekong darat warga tempatan di Napoh, Changlun oleh polis dari Cawangan Khas IPK.

“Susulan itu, tujuh individu termasuk seorang wanita dan tekong darat Myanmar ditahan di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, seminggu kemudian,” katanya.

Disamping itu, Kamarul berkata pasukan Batalion 2 PGA Kulim menahan 32 PATI warga Myanmar yang berjaya memanjat pagar sempadan Malaysia-Thailand sebelum memasuki Malaysia.

Kamarul turut berkata, Polis Kedah tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja termasuk penguat kuasa di sempadan yang dikesan melindung PATI masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand. -SM

(Visited 76 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button