EkonomiUncategorized

Tarif Trump: Perdagangan Intra-ASEAN perlu lebih kukuh untuk harungi ketidaktentuan ekonomi dunia – PM Anwar

KUALA LUMPUR8 April – Di sebalik ketidaktentuan ekonomi dunia akibat fenomena Tarif Trump, ASEAN masih kekal menjadi mercu tanda harapan dan positif, dengan kadar perdagangan serantau mencecah AS$3.5 trilion.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan rangkaian tarif yang berlaku di hampir seluruh negara, dunia kini sedang menyaksikan keruntuhan susunan dunia (global order).

Justeru, beliau berkata, ASEAN itu sendiri perlu meningkatkan kebergantungan sesama negara anggota.

“Ini bermaksud, mengukuhkan perdagangan Intra-ASEAN. Kita perlu melangkaui retorik dan bergerak ke arah pelaksanaan. Liberalisasi tarif di dalam rantau ini hampir selesai, tetapi jajaran peraturan, logistik rentas sempadan, serta kesalinghubungan digital masih belum selesai.

“Ia juga membawa maksud kita perlu melindungi dan mengembangkan hubungan luar. Rakan dialog dan sektoral kini sudah merangkumi enam benua, dan beberapa blok rantau juga dimasukkan ke dalam jaringan.

“Sebagai pengerusi ASEAN untuk tahun ini, Malaysia akan mengutamakan revitalisasi platform strategik tertentu, seperti ASEAN+Three sebagai mekanisme ketahanan ekonomi,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama bertajuk “ASEAN 2025: Forging a Resilient and Inclusive Future”, dan ucapan pelancaran Panduan Pendedahan ESG Ringkas ASEAN untuk PKS dalam Rantaian Bekalan, sempena Persidangan Pelaburan ASEAN di ibu negara, pada Selasa.

Dalam pada itu Anwar berkata, visi Malaysia ialah terus menjadikan ASEAN sebagai rantau yang makmur, mampan, dan inklusif.

Namun, tegas beliau lagi, kesemua ini memerlukan kehendak politik yang kuat, kapital yang serius, ketahanan, selain kemajuan yang pantas dalam melaksanakan inisiatif di peringkat sub-serantau.

Malaysia dan Singapura sebagai contoh, jelas Perdana Menteri lagi, telah mewujudkan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ).

“Dengan merendahkan halangan, dan mengkoordinasi polisi di antara dua ekonomi yang rapat, kami telah mewujudkan kesan demonstrasi, rujukan kes logik ekonomi merentasi sempadan.

“Malaysia juga komited terhadap pelaburan untuk membangunkan kawasan sempadan di sebelah utara dengan Thailand, serta sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, demi mempromosi aktiviti ekonomi untuk kepentingan rakyat di kedua-dua negara yang bersempadan,” katanya lagi.

Dalam pada itu Perdana Menteri mengingatkan negara anggota bahawa ketahanan juga memerlukan pelaburan dalam infrastruktur, yang boleh bertahan dengan bencana alam, baik secara harfiah mahupun kewangan.

Beliau berkata, kesan perubahan iklim menjadi lebih berbahaya, dan keupayaan negara anggota untuk menguruskan kesan bencana, melindungi infrastruktur kritikal, serta komuniti yang terdedah mestilah bertambah baik.

Ekonomi Hijau, tambah Perdana Menteri lagi, bukan lagi sekadar masalah alam sekitar, tetapi keperluan ekonomi yang strategik.

“Teknologi seperti penangkapan karbon, model kitaran penghasilan, dan inovasi rendah karbon bukan sekadar eksperimen yang kurang penting, tetapi bakal menentukan lanskap industri ada dekad yang mendatang,” katanya lagi.

Selain itu Anwar berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merangkumi sebahagian besar sektor pekerjaan, sentiasa menjadi industri yang mudah terdedah (dengan kejutan ekonomi), tetapi lambat untuk bertindak lambat.

Kepatuhan terhadap standard kemampanan global bukan mudah untuk syarikat yang mempunyai kapasiti lima pekerja sebagai contoh, katanya lagi.

“Sebab itu Malaysia, dengan sokongan rakan, telah melancarkan ‘ASEAN Simplified ESG Disclosure Guide untuk PKS. Garis panduan ini penting untuk membantu perusahaan kecil mengambil langkah pertama dalam melaksanakan operasi yang lebih mampan dan telus.

“Inisiatif seperti ini, akan menentukan sama ada visi kita untuk ASEAN menjadi realiti atau pudar ditelan sejarah,” katanya lagi.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button