
Tarif AS: Masa untuk ASEAN jadi kuasa ekonomi bawah pimpinan Malaysia
TEKANAN tarif timbal balik yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump perlu digukan oleh negara-negara anggota ASEAN untuk bersatu mengukuhkan ekonomi dan menjadi blok baharu yang dihormati.
Penganalisis politik yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Dr. Zaharuddin Sani Sabri berkata, tarif timbal balik termasuk yang dikenakan ke atas semua negara ASEAN itu perlu dilihat sebagai satu hikmah.
Katanya, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, boleh menggunakan pengaruh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh mengambil kesempatan daripada tindakan drastik Amerika Syarikat mengenakan tarif timbal balik termasuk kepada semua negara anggotanya untuk bersatu terutama daripada segi ekonomi.
Ini kerana kata beliau, walaupun tarif itu merupakan satu tekanan ekonomi kepada negara terlibat, tetapi ASEAN perlu melihatnya sebagai satu hikmah.
Katanya, apabila ada tekanan seperti itu bermakna ini adalah masa untuk kesatuan ASEAN mengukuhkan kedudukan mereka sebagai satu rantau yang kuat dan mampu menghadapi ancaman itu.
“Tarif yang AS kenakan terhadap dunia perlu dianggap sebagai satu hikmah dan dilihat sebagai perkara posis,” katanya ketika dihubungi.
Semalam ketika berucap pada penutup Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN perlu memperkukuh kekuatan dalaman dan mengembalikan keyakinan terhadap ekonomi domestik bagi menghadapi tekanan dari luar seperti tarif timbal balik yang dikenakan oleh AS.
Untuk itu kata Anwar, semua negara di rantau ini perlu memastikan dan mengekalkan hubungan baik sesama jiran tetangga kerana ia adalah asas membentuk kekuatan bagi menghadapi apa juga ancaman dari luar.
Mengulas perkara itu Dr. Ahmad Zaharuddin berkata, ini adalah masa untuk ASEAN bersatu dan menjadi blok ekonomi baharu yang mampu menjadi pesaing utama dunia.
Katanya, negara-negara ASEAN perlu menjadikan sumber yang mereka ada sebagai sesuatu yang boleh memajukan rantau ini.
Dengan itu katanya, ia akan memastika ekonominya terjamin dan harga barangan yang dihasilkan oleh ASEAN dapat dilipatgandakan jika di jual ke luar termasuk ke AS.
“Ini adalah masa untuk ASEAN bersatu membentuk blok ekonomi baharu dan menjadi pesaing utama di dunia” katanya.
Malaysia pula katanya, perlu menjadikan sumber utama seperti kelapa sawit, getah dan barangan elektronik sebagai asas untuk mengekalkan daya saing termasuk memastikan ia tidak bergantung kepada pasaran AS semata-mata.
“Sumber eksport utama negara boleh dihalakan ke negara lain yang mana secara tidak langsung sedikit sebanyak boleh memberi tekanan kepada AS,” katanya. – SM