Politik

Tak perlu bahas usul undi percaya PM, fokus isu krisis kesihatan

DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju dengan cadangan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dibawa dan dibahaskan sebaliknya sidang Parlimen secara maya dalam darurat yang diadakan hendaklah memfokus kepada isu mendesak termasuk krisis kesihatan.

“Yang menariknya, saranan tersebut sehingga ke tahap mencadangkan peletakan syarat bahawa usul berkenaan sokongan kepada perdana menteri tidak dibawa dan dibahaskan sekiranya perkara tersebut menjadi kerisauan kerajaan.

“Saya tidak pernah melihat satu keadaan yang lebih terdesak dan kritikal berbanding sekarang.

“Saya bersetuju dan menyokong pandangan serta saranan yang beliau telah kemukakan,” kata Naib Presiden UMNO itu dalam kenyataannya hari ini.

Katanya, adalah amat malang Parlimen yang sepatutnya menjadi medium perbahasan dan kerjasama bipartisan disekat daripada bersidang.

“Ini adalah satu keputusan dan perkara yang bukan sahaja mencemarkan amalan demokrasi tetapi meletakkan seluruh negara dalam keadaan berisiko.

“Masa depan, keselamatan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan bukanlah sesuatu yang boleh diperjudikan dan ditutup dengan kenyataan muluk-muluk yang dibuat-buat.

“Kerajaan mesti berhenti berhadapan dengan sebarang krisis dengan cara yang boleh meminggirkan amalan demokrasi,” kata Khaled selain menyuarakan keyakinan bahawa semua Ahli Parlimen dapat memberi komitmen baik.

Terdahulu Azalina berkata, kerajaan boleh mengenakan perintah kawalan terhadap rakyat tetapi bukan terhadap demokrasi, sekali gus menganggap langkah menafikan hak Ahli Parlimen untuk melibat urus dengan kerajaan juga bermakna menafikan hak rakyat di negara ini.

Beliau berkata, peraturan darurat membenarkan Parlimen bersidang semula tetapi mencadangkan usul undi percaya tidak dibuat ketika persidangan.

Parlimen dijadual digantung selama enam bulan 20 hari hingga 1 Ogos susulan perisytiharan darurat pada 12 Jan.

Kerajaan sebelum ini memberi jaminan sidang Parlimen dipanggil pada masa sesuai, sama ada sebelum atau selepas perintah darurat tamat pada 1 Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan, bagaimanapun berkata, perkara itu bergantung pada nasihat dan pandangan pakar termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button