Politik

Jawatankuasa darurat perlu 6 mesyuarat, 3 1/2 bulan untuk ‘bersetuju’

DAP tidak berpuas hati Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 memerlukan enam mesyuarat dan tiga bulan setengah untuk bersetuju dengan penetapan beberapa kriteria dan nilai ambang dalam membuat penilaian sama ada untuk meneruskan darurat atau menamatkannya.

DAP juga berkata jawatankuasa berkenaan tidak pun menjelaskan kriteria dan nilai ambang yang dipersetujui itu.

“Untuk jawatankuasa memerlukan enam mesyuarat dan tiga bulan setengah sejak ditubuhkan pada 9 Februari bagi menyetujui beberapa kriteria dan ‘threshold’, menimbulkan persoalan sama ada ketiga-tiga wakil Pakatan Harapan dapat memberikan sumbangan yang sebenar dan memainkan peranan yang bermakna,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini.

PH diwakili Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke; dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad, dalam jawatankuasa itu yang ditubuhkan untuk memberi nasihat kepada Agung mengenai kewujudan berterusan darurat dan penamatannya.

Guan Eng berkata, keberkesanan darurat dan penutupan Parlimen dalam memerangi Covid-19 harus ditunjukkan dalam suatu laporan kemajuan.

Kata Guan Eng lagi, persoalan sama ada darurat dan penggantungan Parlimen membantu memerangi Covid-19 “harus berdasarkan fakta dan angka”.

Menurutnya, empat bulan setengah selepas darurat diisytiharkan pada 12 Jan, jangkitan harian meningkat lebih dari dua kali ganda (daripada 3,309 kes kepada 7,875 kes), kes kumulatif hampir empat kali ganda (daripada 141,533 kes kepada 541,224 kes), dan kematian kumulatif empat setengah kali lebih tinggi (daripada 559 kes kepada 2,491 kes), pada 27 Mei.

“Fakta dan angka menunjukkan bahawa darurat dan penggantungan Parlimen bukanlah penyelesaian untuk memenangi pertempuran memerangi Covid-19,” katanya.

Guan Eng menggesa Parlimen dibuka semula agar ia dapat memainkan peranan semak dan imbang bagi memastikan kerajaan menjalankan tugasnya dan dana awam digunakan dengan betul.

Beliau berkata, darurat juga perlu ditamatkan segera untuk mempercepatkan proses vaksinasi.

“Jawatankuasa tidak boleh membenarkan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 dengan rekod tertinggi 7,857 jangkitan harian semalam, dijadikan alasan untuk melanjutkan darurat selepas 1 Ogos,” kata Guan Eng dalam kenyataan yang sama. – SM

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button