Politik

Tajuddin dedahkan kebobrokan kepimpinan UMNO selama ini

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan kegagalan kepimpinan UMNO selama ini yang menyebabkan parti itu menuju kehancuran.

Tajuddin ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini antara kesilapan yang dibuat adalah termasuk untuk menarik sokongan daripada Perikatan Nasional (PN) akan menghancurkan parti itu.

“Kali ini bahananya kehancuran bagi UMNO, jadi saya harus bercakap secara terbuka.

“Kalau nak marah, marahlah saya ulang dengan tegas iaitu keputusan untuk membawa kita keluar (PN) sekarang akan membawa masalah.

“Minta maaf Datuk Seri presiden saya tegaskan sekali, tiada (soal) peribadi di sini. Saya sokong anda, bekerja kuat untuk anda, tapi untuk kali ini saya mohon berbeza dengan anda,” kata Tajuddin.

Tajuddin menyifatkan banyak kesilapan dibuat oleh kepimpinan UMNO pada masa lalu dalam kerjasama strategiknya.

Antara yang dibangkitkan termasuk kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemasukan UMNO ke dalam PN dan kegagalan UMNO menjaga Muafakat Nasional.

Perkara itu dinyatakan menerusi rakaman audio ketika mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung baru-baru ini.

Audio berkenaan disahkan sebagai tulen oleh sumber dalaman UMNO, manakala Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa turut berkongsi rakaman itu pada hantaran di Facebooknya.

Tajuddin juga mempertikai keputusan untuk menarik sokongan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bertentangan dengan apa yang diputuskan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Keputusan PAU menarik sokongan daripada PN, bukan tarik sokongan daripada PM, saya mengesan ada gerakan taktikal yang mengubah langkah, setelah keputusan menarik sokongan daripada PN tidak berkesan dan berhasil,” katanya.

Menurut Tajuddin, beliau akur dengan keputusan PAU dan pada masa yang sama perlu mempertimbangkang masa yang waktu yang sesuai.

Beliau turut mendedahkan bahawa UMNO sendiri belum bersedia untuk menghadapi pilihan raya termasuk membabitkan kawasan parlimen yang penyandangnya adalah nama-nama besar.

Jentera pilihan raya sendiri, katanya, belum bergerak kerana tiada sokongan kewangan dari UMNO pusat.

Tajuddin juga yakin PN tidak akan tumbang walaupun UMNO keluar dari kerajaan kerana mereka dengan mudah akan mendapat sokongan dari DAP.

DAP katanya tidak perlu masuk ke dalam kerajaan cukup hanya menyatakan sokongan sahaja.

Selain itu beliau juga mempersoalkan apa jaminan jika UMNO mengambil tampuk kepimpinan negara akan berjaya menangani krisis Covid-19 dan kegawatan ekonomi dalam tempoh enam bulan ini.

Menurut beliau, jika kerajaan diambil alih oleh UMNO dan gagal ia akan menjadi satu masalah yang besar.

Tajuddin juga kecewa kerana tiada ahli MKT yang mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sedangkan kata beliau, ketua-ketua bahagian UMNO menyambut baik pelantikan tersebut dan mereka merupakan tonggak kekuatan parti berkenaan.

PAUTAN VIDEO DARI FACEBOOK TAN SRI ANNUAR MUSA

https://fb.watch/v/H1je446T/

(Visited 786 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button