Politik

Tajuddin akan saman pengkritik

Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercadang untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menjatuhkan reputasinya ekoran insiden dua tren transit aliran ringan (LRT) bertembung bulan lepas.
Menurut Tajuddin, beliau telah dimalukan di seluruh negara dengan pelbagai tuduhan seperti tidak sensitif, rasis dan tidak layak menjadi pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.
Sambil menafikan segala tuduhan yang dilemparkan, Ahli Parlimen Pasir Salak itu percaya, tindakan tersebut merupakan permainan pihak tertentu yang mempunyai agenda sehingga mencetus kontroversi.
Dalam masa sama, Tajuddin mencabar pihak-pihak yang membuat dakwaan sedemikian dengan membuktikan bila dan di mana beliau tidak prihatin atau sensitif terhadap insiden berkenaan dengan menonton semula rakaman sidang media yang dikendalikannya.
“Saya nak cabar mereka, tengok balik video saya, buktikan bahawa saya tidak sensitif, adakah sebab saya ada bergurau sikit dua tren bercium… kissing each other, itu yang diambil sebagai bukti bahan bahawa saya tidak prihatin, tidak sensitif.
“Tengok video (sidang media) itu… mula-mula saya cakap kita berasa sedih dengan apa yang berlaku, kita berasa sedih dan kecewa di atas kejadian dan insiden ini. Saya kata bagi pihak pengurusan, bagi pihak board (lembaga pengarah), kita berasa sedih,” kata Tajuddin lapor Sinar Harian
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan program Bantuan Prihatin Rakyat secara pandu lalu di pekarangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen di Chenderong Balai, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut insiden pertembungan dua tren, Tajuddin berkata, sebagai tanda prihatin, beliau sendiri telah berbincang dengan pihak pengurusan Prasarana untuk membantu mangsa kemalangan seperti kos perubatan dan bantuan khas RM1,000.
Tajudin berkata, mereka yang mengenalinya pasti mengetahui bahawa beliau merupakan seorang yang sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat.
Mengenai bentuk tindakan yang akan diambil, beliau berkata, tindakan itu mengikut undang-undang dan peraturan.
Dalam kejadian 24 Mei lalu, dua tren LRT bertembung menyebabkan 47 penumpang cedera parah manakala 166 orang lagi cedera ringan.
Tajuddin yang mengadakan sidang media keesokan harinya menerima pelbagai kecaman kerana didakwa tidak sensitif terhadap situasi yang berlaku.
Pada 26 Mei pula, Kementerian Kewangan mengumumkan khidmat Tajuddin sebgai Pengerusi Prasarana ditamatkan serta-merta melalui surat yang ditandatangani Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
(Visited 374 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button