Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim faham kumpulan G25 berhubung kebebasan beragama adalah menyeleweng dari Islam.
Beliau berkata di dalam Islam murtad adalah satu jenayah dan urusan peribadi masing-masing.
Berikut kenyataan penuh beliau:
1. Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 mengkritik undang-undang murtad, mengatakan keputusan seorang Islam untuk keluar agamanya antara individu itu dengan Tuhan.
Dalam kertas “Administration of Matters Pertaining to Islam”, kumpulan itu berkata, undang-undang negeri menghukum murtad, sama ada dengan denda, pemenjaraan atau pemulihan, tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.
2. Di dalam Islam, murtad atau keluar dari agama Islam adalah satu jenayah , telah melakukan kesalahan dan dikenakan hukuman hudud. Murtad tergolong dalam dosa-dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah. Firman Allah “…..Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka,mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya)” .(QS al al Baqarah : 217)
Ini ditambah lagi dengan hadis Rasulullah SAW bermaksud :
“Barangsiapa yang menukar agamanya, bunuhlah dia .”(HR al Jamaah kecuali Muslim)
Di dalam hadis yang lain baginda bersabda yang bermaksud: “Tidak halal darah seseorang muslim itu kecuali dengan salah satu dari tiga perkara: Orang yang telah berkahwin melakukan zina, nyawa dibalas dengan nyawa (membunuh dengan sengaja) dan meninggalkan agama yang berpisah dengan jamaah muslimin .”(HR al Bukhari dan Muslim). Namun demikian, hukuman murtad hanya akan dilaksanakan sekiranya telah tamat tempoh istitabah.
3. Ternyata hukuman ini telah dilaksanakan semasa zaman Rasulullah SAW iaitu ketika Mu’az bin Jabal telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada seorang yang murtad ketika menjadi gabenor di Yaman.(direkodkan di dalam hadith riwayat al Bukhari dan Muslim). Begitu juga seorang wanita bernama Ummu Marwan telah dihukum bunuh oleh Rasulullah SAW .(direkodkan oleh al Bayhaqi)
4. Kumpulan ini jelas menafsirkan kebebasan beragama mengikut acuan liberal barat. Agama dianggap urusan peribadi yang tidak ada campurtangan dari pihak lain. Kebebasan beragama bagi mereka , manusia tidak boleh dipaksa hidup beragama. Pentafsiran ini adalah tidak betul kerana setiap individu yang telah menganut sebarang agama adalah terikat dan berkewajipan dengan peraturan agamanya. Hak beragama ini bukanlah bersifat mutlak bahkan ianya adalah berdasarkan prinsip agama masing-masing. Bagi Islam, murtad itu adalah satu dosa dan kesalahan.
5. Kebebasan beragama dalam Islam ialah Islam menjamin kebebasan agama dalam bentuk tidak boleh melakukan paksaan untuk menganut agama Islam bahkan Islam memberi hak kepada setiap individu untuk memilih agama yang ingin dianuti tanpa ada paksaan. Perkara ini telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firmanNya yang bermaksud:-
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.( QS AL Baqarah : 254)
6. Dalam Piagam Madinah, Islam memberi jaminan dan mengiktiraf hak kebebasan beragama. Ini merupakan langkah bijak Rasulullah s.a.w yang telah disebut di dalam Fasal 25 di mana Masyarakat Madinah bebas mengamalkan agama masing-masing. Hal ini kerana masyarakat Madinah terdiri daripada agama yang berbeza dan mereka tidak terikat untuk menjalankan kebudayaan kehidupan mereka selagi tidak bertentangan dengan agama.
7. Kumpulan G25 menjustifikasikan hak murtad di Malaysia atas nama hak kebebasan beragama di Malaysia menurut Perkara 11. Sebagai golongan yang berpengalaman di dalam perkhidmatan masing-masing , sepatutnya mereka memahami dengan mendalam skema Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu terutama terhadap maksud ruang lingkup hak kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu lebih terarah kepada kebebasan penganut dalam mengamalkan dan mengembangkan agama masing-masing di Persekutuan serta turut perlu dijelaskan bahawa terdapat sekatan bagi penyebaran agama selain Islam di Persekutuan seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan. Hal tersebut adalah selaras dengan keutamaan agama Islam dalam Persekutuan menurut Perkara 3 (1) dan seseorang penganut Islam adalah tetap tertakluk kepada undang-undang Islam sebagai undang-undang diri yang mengikat mereka melalui Senarai Negeri (Senarai II) Jadual Ke-9, Perlembagaan Persekutuan.
8. Murtad atau keluar daripada agama Islam sebenarnya adalah berbeza dengan konteks hak kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 11 tersebut adalah lebih merujuk kepada kebebasan mempertahankan amalan dan cara hidup yang digariskan oleh agama masing- masing.
SS DATO HJ ZAMRI HASHIM
Timbalan Mufti Perak
Pengerusi Majlis Ulama Isma.