Nasional

Syarikat Xinyi Solar tambah pelaburan 1.5 bilion di Melaka

Kerajaan negeri menerima pelbauran terbaharu berjumlah RM1.5 bilion menerusi Syarikat Xinyi Solar (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi memperluaskan perniagaan di kawasan Perindustrian Lipat Kajang, Jasin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, syarikat itu yang telah mula bertapak sejak 2014 dengan nilai pelaburan RM2 bilion telah membeli hartanah baharu di kawasan seluas 38.72 hektar.

Menurutnya, pelaburan terbaharu syarikat dari China itu ialah bagi tujuan meningkatkan keluasan kilang syarikat itu dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi selepas pandemik Covid-19.

“Melalui pelaburan tersebut ia bakal membuka peluang pekerjaan antara 300 hingga 500 orang. Sejak kilang ini bertapak di Lipat Kajang, mereka telah menyediakan peluang pekerjaan lebih 3,000 orang.

“Bagi kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Syarikat Xinyi Solar (Malaysia) Sdn. Bhd. yang telah bersetuju untuk bekerjasama dan melabur,” ujarnya.

Beliau berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tanah Industri di kawasan Perindustrian Elkay, Lipat Kajang Jasin antara PKNM dan Syarikat Xinyi Solar (Malaysia) Sdn. Bhd. di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Sulaiman menandatangani dokumen dan pertukaran perjanjian bersama Pengarah Urusan syarikat solar berkenaan, Datuk Sin Ket Hin disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Ketua Pegawai Eksklusif PKNM, Datuk Mashitah Ismail.

Menurutnya, kerajaan negeri berharap melalui pelaburan tersebut ia akan dapat menarik minat dan keyakinan pelabur-pelabur lain untuk memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan terunggul selari dengan Hala Tuju Pembangunan Negeri Melaka 2035. – SM

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button