Syahredzan tidak setuju warga asing dilarang solat berjemaah
SETIAUSAHA Politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan hanya membenarkan rakyat Malaysia mendirikan solat berjemaah dan Jumaat di masjid yang diberi kebenaran untuk dibuka semula.
Menurutnya, Islam yang dianuti beliau melarang sebarang bentuk diskriminasi dan prejudis lebih-lebih lagi dalam urusan melakukan ibadat kepada Allah.
Dalam ciapannya di Twitter, beliau berharap keputusan yang telah diambil oleh kerajaan dikaji semula.
“Saya tahu kenapa keputusan ini dicapai. Tetapi maaf sangat, saya amat tidak bersetuju. Islam yang saya anuti melarang diskriminasi dan prejudis, apatah lagi dalam menunaikan ibadah.
“Saya yakin ada penyelesaian yang lebih baik. Saya harap sangat dapat dipertimbangkan semula,” kata Shahredzan.
Semalam Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, warga asing masih belum dibenarkan bersolat jemaah kerana jumlah penularan Covid-19 yang masih tinggi dalam kalangan kumpulan itu.
Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Jumaat bersetuju secara dasar melonggarkan syarat untuk mendirikan solat berjemaah dan Jumaat berasaskan kepada keluasan masjid khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Kebenaran itu diberikan jika mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan sosial.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19, sudah 11 minggu majoriti umat Islam tidak dapat menunaikan solat berjemaah dan fardu Jumaat seperti biasa di surau atau masjid.
BACA Perlis tambah jemaah solat Jumaat dan lima waktu, Selangor tangguh hingga 30 Jun
BACA Sultan Kelantan perkenan solat Jumaat 40 jemaah mulai Jumaat ini
Beberapa negeri sudah membenarkan masjid menambah bilangan jemaah dari 12 orang kepada 40 orang.
“Selain itu, tentunya keutamaan kepada rakyat Malaysia. Kalau mereka (warga asing) memenuhi masjid sampai tidak ada tempat untuk warga kita, tidak boleh.
“Jadi setakat ini, hanya untuk warganegara Malaysia dan tidak kepada warga lain,” katanya pada sidang media di Putrajaya semalam.
Larangan mendirikan solat berjemaah di surau dan masjid termasuk dalam senarai larangan berhimpun secara beramai-ramai seperti termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).-SM