Belang Bertempat

Bersatu ditolak orang Melayu, Maszlee sila cermin diri…

MENGIKUTI luahan rasa ahli MPT Bersatu, Dr. Mazslee Malik berjudul “Bergayut di dahan PN jalan sukar dan payah buat Bersatu”, Belang terfikir sejenak satu perkara ini:

Adakah YB Maszlee menyedari bahawa Bersatu sendiri tidak ada grassroot (akar umbi) seperti UMNO dan Pas. Jadi, macam mana parti itu mahu bargain atau menuntut macam-macam dari Muafakat Nasional.

Antaranya, Maszlee menyuarakan rasa bimbangnya bahawa Bersatu tidak akan lagi menjadi parti dominan di bawah PN (sekiranya ia ditubuhkan), apa lagi UMNO-Pas bersediakah untuk berkongsi kerusi dengan Bersatu?

Maszlee tentu maklum, Bersatu diberi peluang oleh Pakatan Harapan bertanding kerusi Parlimen terbanyak iaitu 52 dalam PRU-14 lalu, tetapi apa hasilnya? Hanya menang 13 kerusi.

Sukar menang besar kerana bertanding di kerusi yang mempunyai majoriti besar Melayu? Ya lah, kalau betul Bersatu itu benar-benar pengganti UMNO, sudah pasti tidak ada masalah untuk meraih kerusi terbanyak. Tetapi kenapa UMNO boleh jua mencapai angka 54 kerusi manakala Bersatu masih belum dapat atasi Pas yang menang 18 kerusi.

Sudah terjawabkan dalam tulisan Maszlee, yakni di Semenanjung, UMNO bertanding 105 kerusi dan menang sebanyak 46 kerusi.

Nisbah kekuatan UMNO ialah 46 daripada 105, bersamaan dengan 43.8%.
Pas pula bertanding 144 kerusi dan menang 18 kerusi. Nisbah kekuatan

Pas ialah 18 daripada 114, bersamaan dengan 12.5%.
Bersatu bertanding 52 kerusi dan menang 13 kerusi. Nisbah kekuatan Bersatu ialah 13 daripada 52, bersamaan dengan 25%.

TERLALU RIGID

Justeru apa lagi mahu dipertikaikan beliau andai kata UMNO-Pas begitu rigid soal pengagihan kerusi Parlimen dan DUN nanti untuk diberi kepada Bersatu?

Maszlee orang terpelajar, pasti boleh menilai sendiri. Sejak pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang memihak Pakatan Harapan (PH) menutup tirai 2018, bukankah PH kalah kesemua lima daripada enam PRK di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis , kecuali Sandakan (yang dipertahankan DAP).

Berapa PRK berkenaan yang calon Bersatu masuk bertanding tetapi kalah?

Kegagalan Bersatu pun amat ketara kerana Perdana Menterinya ketujuhnya tempoh hari ialah pengerusi Bersatu sendiri. Tapi malangnya rakyat masih terus menuntut teras-teras utama janji-janji PH dalam manifesto PRU-14 yang lepas. Mereka jelak dengan `analisis-analisis’ hutang negara, projek terbengkalai dan `kes-kes naik turun mahkamah’ yang kelihatan tidak diuruskan `rule of law nya dengan baik’.

Jadi, macam mana Maszlee masih nak demand macam-macam untuk Bersatu dari UMNO-Pas? Kedua-dua parti Melayu terbesar itu sudah sokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan pun sudah kira cukup baik.

Maszlee sebagai insan terpelajar pasti maklum bahawa mentadbir negara tidak sama seperti bermain congkak. Ia bukan makmal eksperimen untuk diuji cuba.

TERLAMPAU BERPARTI

Masalah besar dihadapi orang Melayu ini apabila berpolitik terlampau sangat berparti. Orang bukan Melayu berpolitik atas nama bangsa dan tahu sasaran mereka, tetapi Melayu, alahai!

Lihatlah Maszlee, berapa banyak parti Melayu yang tumbuh bak cenda­wan selepas hujan. Daripada UMNO, muncul PKR dan Bersatu. Daripada Pas, muncul Amanah dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Akibat kekecohan ketara di saf kepimpinan Melayu dalam pelbagai bidang sama ada kepimpinan politik, ekonomi, sosial, budaya, korporat dan birokrat serta intelektual, kepemimpinan bangsa Melayu telah kehilangan tumpuan dalam memperbaiki nasib bangsa.

Contoh paling paling mudah dan ketara, bangsa lain termasuk pendatang asing bertungkus lumus menguasai apa sahaja ruang yang diperoleh untuk bertapak kukuh di tanah air ini.

DIKUASAI WARGA ASING

Suatu ketika dilaporkan 50% dari 200,000 hingga 300,000 pekerjaan baharu yang diwujudkan di negara ini dikuasai oleh pendatang asing. Apa sahaja pekerjaan yang ditolak bangsa Melayu akan dikerumuni bangsa lain. Apa sahaja kemahiran yang tidak diendah bangsa Melayu akan dikuasai bangsa lain.

Sepintas lalu sahaja kita dapat melihat kesannya sehingga ke peringkat sektor kecil seperti kedai gunting rambut, tukang kasut, kedai bakeri, bengkel basikal dan motor, pembuat kunci, pembuat bingkai dan pemotong cermin, memperbaiki tayar kereta, kedai foto dan fotostat, pembaik jam, pembuat pembalut kerusi kereta, bengkel besi dan lain-lain telah jauh dikuasai bangsa lain.

Adakah boleh kita persalahkan bangsa lain ketika pemimpin bangsa Melayu sendiri tidak serius untuk memastikan generasi mudanya boleh hidup berdikari? Bolehkah kita menuding jari kepada orang lain jika pemimpin Melayu pula bercakaran sesama sendiri (dari merebut jawatan peringkat bahagian atau cabang sehingga bercita-cita menjadi menteri).

GIMIK

Di samping banyak retorik politik dilaungkan, kita juga menyaksikan tabiat bergimik dalam kepemimpinan yang tidak menguntungkan bangsa Melayu sendiri.

Awlawiyat siyasi (keutamaan politik) mereka bukan untuk perubahan tetapi untuk kantung masing-masing, bukan untuk transformasi bangsa tetapi untuk tengkorok peribadi.

Keputusan Pilihan Raya Ke-14 pada 9 Mei 2018 mempunyai seribu erti yang perlu difikirkan dengan sedalam-dalamnya oleh orang Melayu.

POLITIK CINA

Diyakini kaum Cina mempunyai mekanisme tersendiri untuk memastikan pada setiap kali PRU. Mereka bersatu untuk mengundi mengikut corak tertentu.

Dengan mekanisme itu, pengundi-pengundi dari kalangan kaum Cina tahu parti mana yang mereka perlu pilih sama ada DAP atau MCA atau Gerakan.

Mereka juga tahu sama ada untuk memilih BN atau PH atau Pas (Gagasan Sejahtera). Pada PRU ke-10 (1999) dan PRU-11 (2004), mereka bersatu mengundi BN.

Kemudian pada PRU ke-12 tahun 2008 dan PRU ke-13 tahun 2013, mereka bersatu pula menolak BN dan mengundi pembangkang. PRU ke-14, BN akhirnya ditumbangkan.

Jarang sekali kita dapati kaum Cina mengundi mengikut corak yang sekata dalam PRU-PRU yang lepas.

Baik Bersatu, UMNO dan Pas serta Maszlee sendiri, beringatlah. Kita sudah kehilangan Singapura 54 tahun dahulu dan dalam tempoh itu orang-orang Melayu secara tidak langsung `tertindas’ tanpa disedari.

Apabila sudah hilang, tiada harapan lagi untuk kita mendapatkannya semula.

Jangan dalam tempoh akan datang, disebabkan kelekaan Bersatu, UMNO dan Pas membela anak bangsa, orang Melayu yang berpayung di bawah tiga parti utama berteraskan Melayu ini hilang kuasa politik.

Dan sekali gus Maszlee, Melayu kehilangan kuasa tawar-menawar (bargaining power) di tanah air sendiri. – SM

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!
Close
Close