Lebih baik tubuh suruhanjaya pantau ahli parlimen, ADUN ponteng
SURUHANJAYA Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang mahu ditubuhkan oleh kerajaan PH tidak perlu kerana sudah ada badan yang memantau pasukan keselamatan itu.
Lebih baik jika ditubuhkan suruhanjaya untuk aduan dan salah laku ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang Ponteng sidang dewan.
“Kita memang menentang salah laku, tetapi sangsi dengan IPCMC.
“Untuk apa IPCMC jika sudah sedia ada suruhanjaya khusus yang menjalankan fungsi yang sama iaitu Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)?
“Malahan 21 agensi dikawal selia di bawah EAIC termasuk polis,” kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Wan Muhammad Azri Wan Deris dalam satu kenyataan.
Katanya, dari segi undang-undang, sudah ada peruntukan khas untuk salah laku iaitu Akta Polis 1967, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Akta SPRM?
Di bahawa PDRM juga katanya, ada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS). Selama ini tindakan tatatertib banyak dikenakan ke atas anggota dan pegawai polis yang membuat salah laku, tetapi tidak perlu diuar-uarkan.
“Sudah banyak benda yang sama menekan pihak polis. Itu belum lagi tekanan daripada pemimpin PH, khususnya DAP. Tembak penjenayah yang mulakan serangan senjata api pun jadi isu.
“Tidak cukup menindas, bilakah PH nak fikir tentang kebajikan polis? Anak isteri mereka, bila-bila masa boleh kehilangan bapa dan suami yang bersabung nyawa mempertahankan keselamatan tanah air. BIla nak buatkan polis semua berkhidmat dengan rasa senang hati tinggalkan anak isteri di rumah?
Wan Muhammad Azri berkata, sebagai pemerintah PH kena berlaku adil bukannya menindas pasukan Polis yang menjaga keamanan dan keselamatan kita hingga kita rakyat boleh tidur nyenyak.
“Kenapa tak tubuhkan suruhanjaya untuk aduan dan salah laku ahli parlimen dan ADUN? Ponteng sidang parlimen itu pun salah laku. Siapa nak ambil tindakan?
“Atau ada ada motif lain? Memandangkan kebelakangan ini PDRM berani mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahli politik PH tanpa berat sebelah, seperti kes LTTE dan jenayah rogol, adakah PH mahu PDRM tunduk di bawah kehendak politik mereka?” Tanya beliau. – SM