
Suria FM dan YAYA Empire Hadirkan Drama Raya ‘Hayati
SURIA FM terus mencipta kelainan dengan mempersembahkan drama raya 2025 bertajuk “Hayati”, sebuah karya yang membawa perspektif baharu dalam dunia hiburan tempatan. Kali ini, Suria FM mengetengahkan genre ‘Psikologi Emosional Raya’, yang mengangkat isu pengurusan mental dan emosi dalam konteks perayaan Aidilfitri. Drama berdurasi 40 minit ini dihasilkan dengan kerjasama eksklusif bersama YAYA Empire Perfume, menjanjikan sebuah pengalaman tontonan yang penuh emosi dan menyentuh hati.
Mengisahkan tentang kesan sebuah tragedi yang berlaku pada malam raya, “Hayati” membawa penonton menyelami perjalanan emosi para wataknya yang terpaksa berhadapan dengan kehilangan dan perasaan bersalah. Dalam usaha mereka mencari kedamaian dan memaafkan diri sendiri, realiti dan imaginasi mula bercampur-baur, mencipta satu konflik batin yang penuh dramatik. Kisah ini bukan sekadar hiburan, tetapi turut menyampaikan mesej tentang pentingnya menerima diri dan kekuatan untuk bangkit semula.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), “Suria FM komited dalam menyampaikan kandungan berkualiti dan bermakna kepada pendengar serta penonton. Sejak 2019, kami telah menerbitkan tujuh drama raya dan tahun ini, ‘Hayati’ merupakan salah satu projek terbesar kami. Idea dan skrip drama ini mula digarap sejak September 2024 dan dimuktamadkan dengan kerjasama YAYA Empire Perfume pada November 2024.”
Barisan pelakon yang membintangi drama ini terdiri daripada nama-nama hebat seperti Sherie Merlis, Hasnul Rahmat, Cik Man, Anas Ridzuan, dan Hawra Jamalullail. Turut menyerikan drama ini adalah penyanyi popular Ara Johari, Adam ZBP, serta pempengaruh media sosial terkenal, Mia Azahar. Lebih istimewa, drama ini turut menampilkan penampilan khas oleh pengasas YAYA Empire Perfume, Puan Nadia Mat Isa.
“Hayati” bakal ditayangkan secara eksklusif di Facebook Suria FM dan YouTube Suria TV pada 20 Mac 2025 (Khamis) bermula jam 12 tengah hari. Dari sudut produksi, drama ini melalui proses penggambaran selama tujuh hari di sekitar Lembah Klang, dengan beberapa babak utama difilemkan pada waktu malam hingga ke awal pagi. Salah satu cabaran terbesar adalah penggambaran adegan melibatkan sebuah bas, yang mengambil masa tiga hari untuk diselesaikan. Faktor cuaca yang tidak menentu turut menjadi cabaran, namun dengan komitmen tinggi daripada lebih 100 individu yang terlibat, produksi ini berjaya disempurnakan dengan jayanya.
Puan Nadia Mat Isa, pengasas YAYA Empire Perfume, berkongsi rasa teruja terhadap kolaborasi ini. “Sebagai pencinta seni dan budaya, saya melihat kerjasama dengan Suria FM sebagai satu peluang untuk menyampaikan mesej bermakna melalui seni. Tema ‘Sebuah Perjalanan Jiwa’ dalam drama ini amat dekat di hati saya, kerana ia memberi ruang kepada penonton untuk menghayati makna sebenar kehidupan, kehilangan, kasih sayang, dan keampunan. Saya berharap ‘Hayati’ bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mampu memberi impak mendalam kepada penonton.”
Untuk melengkapkan naratif “Hayati”, Suria FM turut menerbitkan muzik video khas bertajuk “Pentas Sandiwara” yang memaparkan babak-babak penting dalam drama ini. Lagu ini, dinyanyikan oleh artis berbakat Fugo, mengangkat tema kehidupan dan emosi yang selari dengan mesej drama. Sejak diputarkan di Suria FM, lagu ini semakin mendapat perhatian dan menjadi pilihan utama pendengar.
Dengan jalan cerita yang mendalam, sinematografi yang menarik, serta lakonan yang penuh emosi, “Hayati” dijangka menjadi antara drama raya yang paling diingati tahun ini. Suria FM berharap karya ini bukan sahaja memberi hiburan tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental, terutamanya dalam kalangan generasi muda.