Luar Negara

Suhu lebih 40C di India tingkat risiko kebakaran

KEADAAN cuaca atau suhu di India yang terlalu panas bakal meningkatkan risiko kebakaran kata Perdana Menteri Narendra Modi yang memberi amaran ketika gelombang panas mencengkam sebahagian besar negara dan tapak pelupusan sampah terbakar di pinggir ibu negara.

“Suhu meningkat dengan cepat di negara ini, dan meningkat lebih awal daripada biasa,” kata Modi kepada ketua kerajaan negeri India dalam persidangan dalam talian.

Mengikut laporan, bulan Mac 2022 adalah suhu paling tinggi pernah dicatatkan Jabatan Meteorologi India (IMD sejak 122 tahun lalu.

Minggu ini juga, suhu yang panas melampau telah melanda kawasan besar India dan Pakistan.

Lebih daripada satu bilion orang berisiko terhadap kesan kesihatan yang berkaitan dengan haba, kata saintis.


Di New Delhi, suhu telah melonjak melepasi 40 darjah Celsius (104 Fahrenheit) selama beberapa hari dan diramalkan berlarutan sekitar 44C hingga Ahad.

“Kami melihat peningkatan insiden kebakaran di pelbagai tempat, di dalam hutan, bangunan penting dan di hospital, dalam beberapa hari lalu,” kata Modi.

Pada masa sama, beliau meminta negeri untuk menjalankan audit keselamatan kebakaran bagi hospital.

Tambahnya, terdapat puluh orang yang mati setiap tahun dalam kebakaran di hospital dan kilang India, terutamanya disebabkan pembinaan haram dan piawaian keselamatan yang longgar.

Selain itu, kebakaran di kawasan pembuangan sampah Delhi juga menyumbang kepada udara toksik di ibu kota paling tercemar di dunia itu.

Ketika Modi bercakap, anggota bomba sedang bergelut untuk memadamkan kebakaran di tapak pelupusan Bhalswa, sebuah bukit yang menjulang di atas pinggir barat laut bandar itu. Asap daripada sisa yang terbakar memaksa sekolah berhampiran ditutup pada Selasa.

Penduduk bergerak di tengah-tengah asap tebal dari sampah yang terbakar berikutan tapak pelupusan sampah Bhalswa kebakaran di New Delhi, India.

Antara yang paling teruk terjejas ialah negeri timur India yang biasanya lembap, yang menyaksikan suhu melebihi 43C pada Rabu.

Perubahan iklim adalah “tidak diragui” sebagai faktor penyumbang kepada keadaan cuaca yang panas melampau ini, kata pakar hidroklimatologi Arpita Mondal di Institut Teknologi India Bombay

Februari lalu, laporan oleh Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim memberi amaran tentang kelemahan India terhadap suhu panas melampau.

Penyelidikan Mondal mendapati bahawa pencemaran bandar juga mungkin memainkan peranan, dengan karbon hitam dan habuk menyerap cahaya matahari dan membawa kepada pemanasan yang lebih besar di bandar-bandar India.

Walaupun haba membahayakan nyawa dan mata pencarian di India, namun bahaya sebenar boleh dilihat apabila suhu tinggi bercampur dengan kelembapan yang tinggi akan menyukarkan orang ramai untuk menyejukkan badan melalui peluh.

Justeru IMD memberi amaran bahawa keadaan mungkin menjadi lebih teruk dalam empat hari akan datang. – REUTERS – SM

(Visited 52 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button