Nasional

Suhakam dakwa Orang Asli tercicir daripada pakej bantuan Prihatin

SUHAKAM atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia menggesa kerajaan supaya tidak terlepas pandang masyarakat Orang Asli yang didakwa tercicir daripada senarai penerima agihan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Dalam satu dialog bersama 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan persatuan awam dan anggora masyarakat pada 20 April yang membincangkan isu Orang Asli di bawah Perintah Kawalan Terhad (PKP) mendapati terdapat pakej bantuan hanya diberikan kepada mereka yang berdaftar.

Mana yang tidak berdaftar tercicir atau terlepas daripada menerima bantuan tersebut.

“Disebabkan PKP, Orang Asli tidak dapat bekerja atau menjual hasil pertahian atau hasil hutan mereka bagi menghasilkan pendapatan harian. Ini menyebabkan mereka tidak dapat membeli barang keperluan harian,” kata Suhakam dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu menyebut, Orang Asli berhadapan cabaran untuk mendapatkan manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi BPN disebabkan ramai yang buta huruf dan tidak mendapat maklumat tentang pendaftaran BPN.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu telah mengumumkan BPN yang merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion.

BPN merupakan pemberian bantuan tunai kepada mereka yang layak yang terjejas akibat PKP ekoran wabak Covid-19.

Suhakam berkata, antara perkara lain dibangkitkan pada dialog itu ialah risiko masyarakat Orang Asli dijangkiti Covid-19 daripada mereka yang datang mengagihkan bantuan ekoran kekurangan cecair pembersih dan topeng muka.

Ini disebabkan sistem sosial mereka, tahap imuniti dan status kesihatan yang rendah akan menyebabkan wabak itu mudah merebak dalam kalangan Orang Asli andai terdapat salah seorang daripada mereka dijangkiti.

Sesetengah anak Orang Asli tidak dapat didekati kerana mengikut keluarga mereka yang berpindah ke dalam hutan kerana takut dengan wabak ini sementara yang lain tidak ada capaian online disebabkan tidak ada komputer dan kemudahan internet.

Suhakam mencadangkan supaya kementerian kesihatan menubuhkan jawatankuasa kerja yang turut diwakili wakil Orang Asli yang boleh membantu mengenalpasti, melaksanakan, memantau dan melaporkan tentang keperluan kesihatan komuniti selain keperluan lain.

Suruhanjaya itu juga mencadangkan supaya khidmat telekomunikasi turut dikembangkan ke kawasan-kawasan terpencil untuk membolehkan akses kepada maklumat perubatan melalui perkhidmatan teleperubatan. – SM

 

 

(Visited 281 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button