SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin (30 Mei) menahan empat kakitangan sebuah hospital di Selangor kerana disyaki meminta dan menerima rasuah antara RM1,000 dan RM5,000 setiap seorang untuk kerja berkaitan perkhidmatan pengurusan jenazah.
Menurut sumber SPRM, dua daripada suspek merupakan pembantu pegawai kesihatan dan dua lagi penolong pegawai perubatan berusia antara 35 dan 41 tahun.
Sumber itu berkata, suspek ditahan kira-kira jam 6 petang ketika mereka datang ke pejabat SPRM Selangor untuk memberikan keterangan. Mereka dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada individu tertentu sebagai balasan kepada individu berkenaan mendapatkan pekerjaan berkaitan perkhidmatan pengurusan pengebumian. dari 2018 sehingga tahun lepas.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata tiga daripada suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari ini (31 Mei) untuk mendapatkan perintah reman, manakala seorang lagi suspek, seorang penolong pegawai perubatan berusia 41 tahun, akan dibebaskan dengan jaminan SPRM atas alasan kesihatan, selepas memberikan kenyataannya untuk membantu siasatan.
Pada 27 Mei lalu, dua pembantu pegawai kesihatan berusia 40 dan 42 tahun direman lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan. – SM
Baca artikel ini > SPRM nafi siasat ahli politik di Melaka