fbpx
Nasional

SPRM belum buka kertas siasatan berkaitan 101 projek rundingan terus – Azam

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini belum membuka kertas siasatan berhubung 101 projek rundingan terus yang diluluskan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata pihak SPRM masih membuat analisis terhadap kesemua projek berkenaan sama ada ia mempunyai unsur rasuah atau sebaliknya.

“Di bawah amalan Perbendaharaan, ada tiga kaedah untuk mengeluarkan tender bagi sesuatu projek dan salah satunya adalah secara rundingan terus.

“Kita sekarang sedang melihat dan mengkaji senarai syarikat yang menerima projek-projek berkenaan dan menilai sama ada terdapat unsur rasuah ataupun tidak dalam rundingan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bersempena Program Cakna Rasuah:SPRM Bersama Media Zon Selatan di Melaka, hari ini.


Pada 24 Ogos lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat mendedahkan bahawa pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan, meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata sejak 2015 hingga Ogos 2020, sebanyak 1,196 maklumat telah diterima oleh SPRM Melaka berhubung rasuah dan salah guna kuasa yang dilaporkan oleh orang awam.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak 427 fail telah dibuka dan 119 penjawat awam telah ditangkap dan didakwa di mahkamah atas kesalahan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan. – BERNAMA

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button