Nasional

SPR adakan mesyuarat tentukan tarikh PRN Sarawak

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya negeri di Sarawak.

Setiausaha SPR Satuk Ikmalrudin Ishak berkata, tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihaknya.

Menurut beliau SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg  berhubung dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan Proklamasi Darurat (Sarawak) semalam.

Katanya, berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 Dewan Undangan Negeri
terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

“Di bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan,” katanya dalam satu kenyataan.


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan semalam.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, berkata ia berikutan permohonan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, untuk menamatkan darurat di negeri itu, pada sesi menghadap Seri Paduka di Istana Negara, semalam.

Beliau berkata, baginda memberi perkenan itu selepas memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini, serta sembah taklimat Peguam Negara dan pandangan ketua agensi kerajaan, semalam, berhubung perkara berkenaan.-SM

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button