Rencah Hidup

Deepavali dahulu sebelum pandemik Covid-19

SAYA bukan bangsa India tetapi dahulu, waktu dibangku sekolah, saya tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi rakan-rakan sekolah dan guru yang menyambut Deepavali.

Deepavali ialah perayaan bukan bersifat keagamaan atau ritual dan seperti hari raya, saya mengunjungi rakan-rakan kaum India.

Guru saya tahu, saya Islam dan sajian yang disajikan kepada anak muridnya ini, halal kerana beliau membeli ayam daripada orang Melayu di pasar.

Roti puri, kari ayam, cikgu masak sendiri dan gembira apabila melihat wajah saya dan rakan-rakan lain yang juga anak murid beliau, memenuhi ruang meja makan di rumahnya.

Kami meraikan keluarga cikgu yang menyambut perayaan Deepavali tanpa ada rasa diskriminasi kaum tetapi lebih kepada saling hormat menghormati dan faham memahami antara satu sama lain.

Walaupun cikgu dan anaknya yang juga rakan sebaya kami di sekolah beragama Hindu namun sikap toleransi yang diajar pada kami semua, anak-anak warganegara Malaysia, menyatupadukan kami sehingga hari ini.

Ya hari ini, tahun 2021, kami masih lagi berhubungan walaupun masing-masing membawa haluan dan menjalani kehidupan sendiri, bersama keluarga dan cikgu kami masih ada walaupun telah lanjut usia.

Merindui cikgu dan rakan-rakan yang menyambut Deepavali, segalanya berubah apabila pandemik Covid-19 melanda.

Segala-galanya perlu mengikut SOP dan kita perlu menjaga kesihatan diri, jarak fizikal, memakai pelitup muka dan sanitize.

Dalam keadaan sekarang, kita sudah boleh bergerak kerana tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah kes baharu Covid-19 berada di bawah angka 5,000 kes sehari sejak kebelakangan ini dan kita mencapai peratusan vaksin yang disasarkan oleh kerajaan dan kementerian kesihatan.

Namun kita harus terus berhati-hati dan jika mengunjungi rakan yang menyambut perayaan Deepavali, jangan leka dan lalai kerana Covid-19 ada di sekeliling kita.

Ramai yang mahu merasai kemeriahan sambutan Deepavali hari ini selepas dua tahun perayaan itu disambut secara sederhana.

Malam tadi, tidak tahulah siapakah yang bermain bunga api dan mercun kerana meraikan Deepavali, saya terasa seperti sambutan Tahun Baharu Cina juga kerana dentuman mercun dan bunga api di ruang udara di kawasan rumah.

Tidak mengapa, saya ok kerana inilah keseronokan rakan-rakan yang meraikan Deepavali dan saya faham, mereka membuat persiapan untuk beraya.

Siaran berita malam tadi menyaksikan Little India di Jalan Brickfileds, Kuala Lumpur dikunjungi oleh masyarakat India untuk membuat persiapan terakhir menyambut Deepavali.

Peniaga-peniaga di Little India menzahirkan rasa lega kerana perniagaan yang dijalankan dikunjungi pelanggan dan kelonggaran yang diumumkan kerajaan disambut baik.

Asalkan jaga, ingat dan patuh SOP yang boleh dijadikan sebahagian daripada budaya kita rakyat Malaysia, apa  jua perayaan yang disambut, boleh disambut tanpa cetusan rasa tidak puas hati.

Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada para pembaca SUARA MERDEKA yang meraikan Deepavali. – SM

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button