Nasional

Solat hajat serta doa selamat pengganti sambutan tahun baharu

PERDANA Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang sambutan tahun baharu 2022 dibatalkan dan digantikan dengan solat hajat dan doa selamat.

Keputusan untuk tidak mengadakan sebarang sambutan Tahun Baharu adalah sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri.

“Pada tahun ini saya mengambil keputusan untuk membatalkan sambutan tahun baharu dan digantikan dengan solat hajat dan doa selamat sebagai tanda menghormati dan bersimpati dengan mangsa banjir yang melanda beberapa negeri.

“Saya telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) untuk menganjurkan Solat Hajat dan Malaysia Berzikir Ambang 2022 pada 31 Disember 2021 di Masjid Putra, Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari semalam.


Sehubungan itu, beliau mengajak Keluarga Malaysia untuk solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan doa selamat di Masjid Putra, Putrajaya yang akan bermula pada jam 7 malam ini.

Katanya, bagi mereka yang tidak berpeluang hadir, boleh mengikuti siaran secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Al-Hijrah.

“Saya juga menyarankan agar masjid-masjid di seluruh negara, terutamanya masjid negeri, menganjurkan majlis yang sama.

“Manakala Keluarga Malaysia yang bukan beragama Islam boleh melakukan sembahyang mengikut kepercayaan dan agama masing-masing. Semoga usaha kita semua mendapat keberkatan dan Malaysia akan menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini,” katanya lagi.

Pada 18 Disember lalu seluruh negara dikejutkan dengan banjir besar yang melanda beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang. Bencana alam itu turut mengorbankan lebih 50 orang dan memusnahkan ribuan harta benda. – SM

(Visited 32 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button