Sokong, tentang atau duduk atas pagar – Tunggu Anwar Ibrahim menghadap Agong, lusa
BENARKAH seperti apa yang dilaporkan oleh FMT bahawa tiga Ahli Parlimen UMNO memberitahu, parti itu kini terbahagi kepada tiga kumpulan.
Menurut portal itu, kumpulan pertama ialah kalangan mereka yang menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kumpulan kedua, yang menentang dan ketiga, kumpulan yang duduk atas pagar yang belum membuat keputusan sama ada menyokong atau menentang.
Senario itu menyebabkan berlakunya ketegangan dalam parti tertua negara. Bagaimanapun, nama mereka yang dimaksudkan di sini tidak pula disiarkan oleh FMT.
Mengimbau detik pengumuman Anwar melalui sidang media bertarikh 23 September lalu, beliau mendakwa mendapat sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan daripada Ahli-ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baharu yang didakwanya sebagai bukan kerajaan pintu belakang.
Pada Khamis lepas, Anwar telah mengumumkan diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong lusa, Selasa, 13 Oktober.
Salah seorang Ahli Parlimen yang tidak mahu namanya disebut memberitahu FMT, beberapa pemimpin parti secara tidak langsung menunjukkan sokongan kepada Anwar secara umum.
Ini menyebabkan ketidakselesaan kepada mereka yang tidak mahu menjadi sebahagian daripada persefahaman baharu antara “pemimpin UMNO dan Anwar”.
Kata Ahli Parlimen berkenaan seperti mana dipetik oleh FMT, ada beberapa pemimpin UMNO yang lebih berhati-hati dan sedang menunggu Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum menunjukkan sokongan mereka.
Beliau berkata, mereka yang berhati-hati lebih bijak kerana tidak akan terpengaruh secara negatif sekiranya Anwar gagal membuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong yang beliau mempunyai majoriti.
“Mereka ambil langkah selamat. Ini kerana sekiranya Anwar gagal dalam usaha untuk ambil alih kerajaan, banyak kecaman dijangka datang dari Ahli Parlimen UMNO terutama dari mereka yang tidak setuju dengan langkah itu, ” katanya.
Kata Ahli Parlimen itu lagi, Ahli Parlimen yang tidak menyokong Anwar merasakan, mereka yang berbuat demikian mementingkan diri sendiri.
Tambahnya, beberapa pemimpin UMNO menyokong Anwar selepas merasakan mereka ‘ditipu’ oleh Perdana Menteri’ sekarang.
“Mereka yang sehabis baik untuk membantu Muhyiddin Yassin (Tan Sri) menjadi Perdana Menteri pada Februari lalu dengan harapan, akan mendapat pertolongan. Tetapi perkara itu tidak menjadi. Pemimpin UMNO tidak tahu ke manakah arah Perdana Menteri sekarang,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi Ahli Parlimen UMNO berkata, mereka akan mengikut ketua parti untuk mengekalkan kerusi Parlimen masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya hanya akan mengumumkan pendirian saya selepas Anwar jumpa Yang di-Pertuan Agong,” kata Ahli Parlimen berkenaan yang juga enggan namanya disiarkan oleh FMT.
Katanya lagi, 129 Ahli Parlimen menyokong Anwar, sambil sokongan itu bukan berdasarkan parti politik tetapi berdasarkan Ahli Parlimen secara individu termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Satu barisan Kabinet baharu juga sedang dirangka, kata seorang lagi Ahli Parlimen, sambil menambah, ramai yang merasakan rancangan Anwar Ibrahim untuk menukar kerajaan boleh jadi kenyataan tetapi bergantung pada DAP.
Beliau berkata, DAP menjadi sekutu rapat Anwar selama bertahun-tahun tetapi parti itu dilihat enggan bergabung dengan gabungan baharu itu kerana takut kehilangan sokongan pengundi Cina.
Ahli Parlimen ini juga berkata, pada awalnya tiada isu apabila mereka kali pertama diberitahu tentang kemungkinan sebuah gabungan baharu antara pelbagai Ahli Parlimen dari pelbagai latar belakang.
“Tetapi sekarang, kita diberitahu DAP sedang melihat pelbagai kemungkinan termasuk menyokong Anwar namun tidak menyertai Kabinet.
“Ini akan memastikan mereka kembali berkuasa tanpa perlu bekerjasama dengan UMNO secara langsung,” katanya Ahli Parlimen ini sambil menambah, perbincangan masih berlangsung antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. – SM