Sokong Kempen Jualan Malaysia – Raja Muda Perlis
Semua pihak perlu memberikan sokongan padu terhadap Kempen Jualan Malaysia (KJM) 2020 yang turut digerakkan bersama-sama Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) bagi memperkukuhkan semula permintaan domestik dengan menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia.
Usaha sebegini sekaligus akan dapat membantu sektor peruncitan dalam menghadapi kesan pelaksanaan PKP selain menjadikannya satu usaha berterusan bagi mempromosikan lagi barangan buatan Malaysia yang memiliki kualiti yang amat baik.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis pelancaran ‘Kempen Jualan Malaysia (KJM) 2020’ dan ‘Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Peringkat Negeri Perlis’ yang dianjurkan oleh Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Perlis di Ruang Legar Pasar Raya Giant Kangar pada pagi tadi.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid dan Pengarah Pejabat KPDNHEP Negeri Perlis, Norazah Jaapar.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda juga berharap agar para peniaga, usahawan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta penjaja dan peniaga kecil terutamanya di negeri Perlis ini hendaklah mengadakan promosi tidak terhad di premis semata-mata, malah, terus mempromosi secara aktif produk-produk mereka di platfom digital seperti ‘Shopee’, ‘Lazada’ dan sebagainya bagi menarik minat rakyat untuk berbelanja.
Melalui perlaksanaan KBBM ini juga Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar dapat meningkatkan lagi semangat patriotisme di kalangan rakyat terhadap perkhidmatan dan barangan buatan Malaysia. Pada masa yang sama membantu para pengusaha tempatan terutamanya di Perlis memasarkan produk serta perkhidmatan mereka selain mengembalikan keyakinan para pengguna untuk keluar berbelanja, seterusnya meningkatkan perbelanjaan isi rumah. – SM