Skandal: Bintang EPL ketagih pil tidur
TERDAPAT beberapa pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bergantung kepada pil tidur, lapor The Sun. Laporan itu mendakwa ramai bintang yang beraksi dalam liga utama itu mencampurkan pil tidur dengan alkohol bagi merasai pengalaman yang ‘mengkhayalkan dan menyeronokkan’.
Bahan seperti Zopiclone dan Zolpidem yang diambil oleh bintang-bintang bola sepak tersebut berada pada tahap membimbangkan kerana meletakkan kehidupan serta karier mereka berada dalam risiko.
Berdasarkan pendedahan baru-baru ini, seorang pemain antarabangsa England telah menjadi ketagih kepada pil tidur dan mencampurkan dengan minuman keras, vodka sewaktu melanggar perintah berkurung untuk pergi berparti.
Kini The Sun mendakwa pula dua lagi bintang Three Lions telah masuk ke pasaran gelap bagi mendapatkan bekalan preskripsi perubatan Kelas C.
Menurut laporan tersebut, isteri atau teman wanita salah seorang pemain yang tidak dinamakan telah pulang ke rumah mendapati pasangan mereka terbaring kaku di sofa, sementara anak-anak pula berada dalam keadaan terkejut sewaktu mengejutkan bapa mereka.
Sumber rapat dengan keluarga pemain tersebut memberitahu: “Ubat itu merosakkan pemain berkenaan dan juga insan disekelilingnya.”
Bintang England yang didedahkan sebagai pemain pertama ketagihan pil, dikatakan berada dalam keadaan berkhayal sewaktu mengambil ubat larangan itu.
“Sukar untuk percaya dan dia seorang kawan yang merupakan rakan sepasukan saya. Dia memberitahu saya sebab itu dia bergelut dengan prestasi. Dia ketagihan pil. Rakan sepasukan dan sahabat-handai amat bimbang. Ia benar-benar menjejaskan permainanannya.
“Pemain bermasalah itu berada dalam keadaan khayal dan menari di atas meja kopi. Dia benar-benar hilang kawalan dan tidak sedar apa yang dia lakukan atau dituturkan,” kata satu sumber yang menghadiri parti dan melanggar peraturan Covid-19 kepada The Sun.
Beberapa bintang Liga Perdana memasuki pasaran gelap dengan tujuan bagi mendapatkan kuantiti yang banyak dan mengedarkan pil itu kepada pemain lain sewaktu berada dalam bilik persalinan.
Salah seorang pemain Three Lions yang tidak dinamakan, telah mendapat preskripsi doktor kelab bagi mengambil Zolpidem dalam jumlah yang kecil.
Bagaimanapun, pemain itu mula mencampurkan ubat berkenaan dengan alkohol dan sejak itu, dia bergantung kepada pil tersebut.
“Dia telah mengambil pil itu pada setiap hari tahun lalu. Ia telah menjadi sebahagian daripada rutinnya. Dia mengambil pil sebelum tidur, tetapi selepas itu dia telah menjadi satu bentuk ketagihan.
“Pil itu telah memusnahkan pemain tersebut dan orang disekelilingnya. Terdapat beberapa rakan sepasukannya kerap mengambil pil tersebut dan begitu juga dengan pemain di kelab lain.
“Malah mereka juga berbual secara terbuka mengenai siapa yang boleh mendapatkan bekalan. Ia menjadi tidak terkawal. Pil itu perlu disekat pengambilannya. Bagaimana jika pemain berkenaan sedang memandu dan telah membunuh seseorang yang anda sayang?
“Mereka tidak pedulikan kesannya. Mereka ingat diri mereka kebal,” kata satu sumber kepada The Sun.
Menurut sumber itu juga, difahamkan kelab juga menyedari masalah yang berlaku dan menawarkan sokongan.
“Kelab telah mencadangkan kepada pemain itu bagi mendapatkan terapi kepada pakar yang telah dirujuk. Pasangan pemain itu amat bimbangkannya dan mahu dia mendapatkan bantuan segera,” jelas sumber tersebut.
Meskipun ia membahayakan kesihatan, ubat itu tidak berada dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) sebagai bahan terlarang.
Bagaimanapun, difahamkan secara diam-diam WADA telah mula meminta kelab-kelab mengadakan pemeriksaan secara tetap ke atas para pemain bagi mengesan penggunaan ubat tersebut dan memasukkan bahan itu ke dalam senarai ubat larangan.
Ubat tidur boleh didapati dengan mudah daripada doktor atau menerusi atas talian.
Doktor berkenaan sudah biasa membantu para pemain bagi membolehkan mereka tidur dengan lena selepas perlawanan yang menyebabkan adrenaline bergerak aktif pada sebelah malam, tetapi apa yang menjadi isu ialah mengambil pil itu dengan alkohol.
Perbuatan tersebut mampu memberi kesan buruk apabila diambil untuk tujuan bersantai, termasuk kebergantungan dan potensi pengambilan pil itu secara berlebihan. – Daily Mail – SM