Sistem pendawaian hospital di seluruh negara akan diperiksa
SISTEM pendawaian di hospital di seluruh negara akan diperiksa bagi mengelak kejadian kebakaran seperti yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, semalam.
Untuk itu Kementerian Kesihatan juga telah meluluskan beberapa peruntukan segera bagi tujuan berkenaan supaya tragedi seperti itu tidak berulang..
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, keutamaan diberikan untuk melihat sistem pendawaian di seluruh negara.
“Kita dah lulus beberapa peruntukan penting untuk kita lihat perkara itu… ada beberapa keutamaan yang kita akan berikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Chini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian kebakaran yang berlaku di Wad Perubatan Perempuan 1, HSA semalam.
Kejadian kira-kira pukul 3.00 petang itu tidak mengakibatkan sebarang kematian kerana kesemua 24 pesakit yang berada di wad berkenaan berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas petugas di hospital itu.
Sebelum ini, HSA pernah mengalami kebakaran pada Oktober 2016 melibatkan tingkat dua unit rawatan rapi (ICU) selatan yang mengakibatkan enam pesakit maut.
- Sultan Johor biaya kos baik pulih wad HSA
- Adham Baba bergegas ke HSA insiden kebakaran, ziarah pesakit
- https://suaramerdeka.com.my/adham-baba-bergegas-ke-hsa-insiden-kebakaran-ziarah-pesakit/
Sementara itu, Dr. Adham turut merafak sembah terima kasih kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar atas perkenan untuk membiayai kos membaik pulih wad HSA yang terbakar itu.
“Kalau mengikut proses KKM mungkin mengambil masa yang lama dan mengikut titah Tuanku, tiga pihak iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya, dan KKM akan duduk serta menyiapkan pelan yang terbaik.
“Saya sendiri telah melawat kawasan itu semalam dan ada sedikit sebanyak yang perlu dibuat. Keseluruhan kompleks itu perlu dilakukan pendawaian semula dan tambah baik ruang penempatan pesakit,” katanya.
Sultan Iskandar dalam akaun Facebook rasmi baginda bertitah berkenan untuk membiayai kos membaik pulih wad yang terbakar itu dan akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja pembaikan dimulakan segera.
Baginda turut bertitah segala kos berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).