Nasional

Ancaman diterima saya adalah lumrah – Ayob Khan

KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyifatkan ancaman yang diterimanya berikutan ketegasan beliau dalam memerangi jenayah, khususnya membabitkan penyeludupan pendatang di negeri ini, adalah satu lumrah sebagai pegawai polis.

Beliau juga menegaskan tidak gentar mahupun tunduk kepada ancaman tersebut sebaliknya akan terus komited dalam tugas memerangi jenayah demi keselamatan negara.

“Setakat ini memang ada usaha untuk mengambil tindakan (ancaman) ke atas saya. Itu satu lumrah, yang penting kita berhati-hati dalam ambil tindakan dan berjaga- jaga. Yang selebihnya kita  serah kepada Allah.

“Selagi kita ikhlas, kita jangan takut. Kalau takut, jangan jadi pegawai polis.

“Jadi guru, jadi wartawan pun ada terima ancaman kan? Kadang-kadang itu biasa, jadi tuan-tuan jangan bimbang, jangan takut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar kononnya ada tekong dari negara jiran “memetik” nama beliau kepada sindiket penyeludupan migran kerana marah operasi mereka sering digagalkan pihak berkuasa.

Mengikut rekod, setakat ini lebih 20 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa telah ditahan kerana dipercayai terbabit dalam penyeludupan migran di Johor khususnya di kawasan pantai timur.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan memberitahu perintah reman terhadap lapan lelaki termasuk seorang pegawai dan tiga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan Jumaat lalu kerana mencuri lembu, disambung tiga hari lagi setelah reman sebelumnya berakhir semalam.

“Reman disambung tiga hari lagi semalam. Kita akan serahkan kertas siasatan (kepada Timbalan Pendakwa Raya) untuk mereka dituduh kalau ada bukti kuat dan sebagainya,” katanya.

Kesemua suspek yang berusia 27 hingga 48 tahun itu sebelum ini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.- BERNAMA         

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button