Uncategorized

Tanggung sendiri risiko jika berniaga di lokasi bahaya

PENJAJA serta peniaga yang beroperasi di persimpangan lampu isyarat dan di bahu-bahu jalan di Terengganu, perlu menanggung sendiri risiko sekiranya berlaku kemalangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, kerajaan masih kekal dengan pendirian tidak memberi kebenaran kepada penjaja serta peniaga menjalankan aktiviti perniagaan di lokasi-lokasi tersebut, kerana berbahaya kepada pengguna jalan raya dan menyalahi undang-undang jalan raya.

Bagaimanapun, dengan keadaan ekonomi rakyat yang agak terhimpit ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan memberi kelonggaran dengan mengarahkan supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap penjaja atau peniaga yang beroperasi dalam tempoh yang akan ditentukan kelak.

“Kita memang tak benar dan tak bagi lesen untuk penjaja atau peniaga beroperasi di tempat-tempat itu, kerana bukan sahaja bahaya kepada peniaga, malah kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Tetapi disebabkan kesan PKP, kita ada budi bicara. Buat sementara ini kita biar sahaja rakyat berniaga dan cari pendapatan, setelah terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19 tetapi risiko tanggung sendiri, jangan salahkan kerajaan kalau berlaku apa-apa,” katanya pada sidang media selepas merasmikan hari alam sekitar sedunia peringkat negeri Terengganu hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri Terengganu Ramli Abd Rahman.

Bagaimanapun dalam masa yang sama Dr Alias berkata, beliau juga kesal dengan sikap sesetengah peniaga di negeri ini, yang enggan mengambil lesen perniagaan dan lebih selesa beroperasi secara tidak sah.

“Walaupun kerajaan telah menyediakan banyak kemudahan seperti lesen perniagaan sementara dan lokasi perniagaan, ada juga yang degil kerana tidak mahu melalui prosedur kesihatan dan sebagainya.

“Sikap inilah yang menyebabkan kerajaan sentiasa dalam dilema antara isu keselamatan orang ramai dan kebajikan rakyat,” katanya.- BERNAMA

(Visited 335 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button