JenayahNasional

Sistem ‘hawala’ kelulusan VLN warga Bangladesh masuk Malaysia

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan kewujudan sistem ‘hawala’ berhubung kes rasuah berkaitan kelulusan Visa Luar Negara (VLN) warga Bangladesh memasuki Malaysia.

Sistem hawala merujuk kepada penghantaran wang melalui kaedah ‘bawah tanah’ tanpa membabitkan sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi.

Bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran pemakaian kamera badan dan jaket SPRM Azam berkata, pihaknya sedang mengesan beberapa transaksi wang yang disyaki dibayar bagi tujuan perolehan visa pelancong yang disalahgunakan untuk memasuki negara.

“Kami juga mengesyaki terdapat sejumlah besar wang yang disalurkan melalui sistem hawala di beberapa tempat,” katanya.

Untuk rekod, VLN merupakan visa lawatan sosial untuk pelancong luar memasuki Malaysia bagi tempoh tertentu dan menurut undang-undang negara, pelancong Bangladesh dibenarkan menetap di Malaysia selama 30 hari dan tidak layak didaftar untuk sistem permit kerja.

Di samping itu, Azam turut berkata, siasatan lanjut SPRM mendapati lambakan pekerja Bangladesh di Malaysia adalah menerusi sistem VLN yang disalahgunakan untuk bekerja dalam negara serta tidak melalui saluran pengambilan pekerja asing yang betul.

Isu penyelewengan permohonan VLN oleh warga Bangladesh mendapat liputan meluas sejak April lalu susulan penahanan dua pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) yang ditempatkan sementara untuk bertugas di Pejabat Atase Imigresen di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh.

Seorang pegawai penguat kuasa yang pernah bertugas di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh adalah antara dua individu ditahan kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM100 juta sejak 2021.

Siasatan mendapati pegawai berkenaan dipercayai menerima bayaran sekitar RM1,363 (AS$300) ke RM2,272 (AS$500) bagi setiap kelulusan permohonan VLN membabitkan jumlah rasuah dianggarkan bernilai lebih RM100 juta meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105. – SM

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button