Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
MASYARAKAT berbilang kaum di negara ini menolak sekerasnya tindakan penghinaan dan cercaan terhadap Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Mereka tidak mahu perkara biadap dan provokasi seperti itu menggugat keamanan dan keharmonian yang telah dikecapi di negara ini yang megamalkan konsep Raja Berpelembagaan sejak sekian lama.
Ini terbukti apabila masyarakat pelbagai kaum terdiri daripada kaum Sikh, India, Cina dan Melayu tampil membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook NengTung Ting yang mencerca Raja Permaisuri Agong.
Pengerusi Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu, Datuk Jasvir
Singh Ram Singh yang mewakili masyarakat pelbagai kaum daerah ini berkata, laporan polis dibuat bagi meminta pihak berkuasa segera bertindak tegas terhadap individu berkenaan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Kenyataan berbaur cercaan terhadap Raja Permaisuri Agong itu tidak boleh dibiarkan kerana sebagai rakyat berbilang kaum di negara ini kita sentiasa mendokong amalan raja berpelembagaan dan menghormati institusi raja.
“Cercaan biadab oleh individu tidak bertanggungjawab itu mengguris hati kami semua masyarakat berbilang kaum di Pahang yang hidup dengan aman dan harmoni,”katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong hari ini.
Baru-baru ini halaman Facebook menjadi medan netizen bertindak biadab dengan menghina Tunku Azizah dengan panggilan ‘nenek sihir rasis’.
Cercaan pemilik Facebook menggunakan nama Nengtung Ting itu dipercayai susulan tindakan baginda menggunakan tulisan jawi di Twitter sebagai usaha memperkasakan tulisan berkenaan.
Menurut Jasvir, pihak polis perlu segera mengenakan tindakan tegas kepada individu terbabit sebagai pengajaran agar pihak lain tidak mengulangi perbuatan biadab seperti itu.
Katanya, jika dibiarkan ia dibimbangi akan berterusan seterusnya mencetus suasana tidak harmoni dalam negara ini yang mengamalkan
konsep raja berpelembagaan.
Dalam pada itu, Low Siu Hou, 23, berkata, sebagai golongan muda berbangsa Cina dia tidak bersetuju dengan tindakan biadap melakukan cercaan seperti itu.
Katanya, sepatutnya sebagai rakyat negara ini semua pihak harus hormat menghormati antara satu sama lain.
“Baik kita hidup dengan aman dan bekerja dengan aman, kita kena hargai keamanan ini dan jangan melakukan perbuatan boleh jejaskan kehidupan kita,”ujarnya.