BeritaPolitik

Saya difitnah kerana cemburu – Syed Saddiq

MENTERI Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau difitnah kerana ada pihak tidak suka dengan usahanya membersihkan kementerian daripada rasuah.

Menurut beliau, mereka mungkin cemburu apabila mendapati pencapaian KBS di dalam Public Service Corruption Ranking (PSCR) yang dikeluarkan oleh SPRM semakin cemerlang.

“KBS telah berjaya memperbaiki tangga PSCR dari lapan kementerian paling berisiko rasuah kepada tangga 16 paling kurang risiko rasuah dan salah laku,” katanya dalam kenyataan beliau.

Dalam masa sama, kata Syed Saddiq, tujuannya menceburi bidang politik sebenarnya adalah untuk membersihkan politik itu sendiri.

“Banyak cubaan daripada pihak lawan untuk kotorkan nama saya, Alhamdulillah kebenaran menang akhirnya.

“Dahulu fitnah saya makan duit tender makanan. Kini, yang menuduh disoal siasat oleh polis dan nama saya dibersihkan oleh PDRM dan SPRM.

“Dahulu fitnah kata pejabat saya dapat Vellfire dan disuap ahli perniagaan. Kini selepas laporan PDRM dan SPRM, terdiam si pemfitnah,” katanya.

Malah katanya lagi, beliau juga pernah difitnah bahawa ahli perniagaan yang ditangkap pihak polis mendapat projek lumayan daripada KBS.

“Kini, selepas semakan didapati tiada projek pun beliau dapat. Yang kantoi, semua projek yang diluluskan adalah daripada kerajaan terdahulu, bukan sekarang,” jelas Ahli Parlimen Muar ini.

Syed Saddiq berkata, fitnah terbaharu yang dihadapi adalah beliau kononnya berada di lokasi ‘parti dadah’ tetapi dilepaskan.

“Siap ada portal berita cenderung UMNO-BN yang melaporkan bahawa kereta menteri ‘Vellfire’ ada di lokasi kejadian.

“Saya guna Proton. Kereta kegunaan peribadi pun Proton Inspira. Vellfire manalah tiba-tiba wujud,” ujar beliau lagi.

Sehubungan itu kata Syed Saddiq, pejabatnya
telah membuat laporan polis berkenaan isu ini.

“Saya juga akan saman portal berita dan mereka yang menyebarkan fitnah ini.

“Ini kejayaan dan komitmen saya serta kementerian. Usah dilekehkan dengan fitnah dan tuduhan,” katanya.

(Visited 434 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button