fbpx
Nasional

Permaisuri Agong berangkat ke Malam Deklamasi Puisi Putrajaya

RAJA Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Malam Deklamasi Puisi Putrajaya di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, malam ini.

Baginda diiringi Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Raja Permaisuri Agong yang tiba pukul 8.45 malam, menyaksikan persembahan lima sasterawan negara, Dr Siti Zainon Ismail, Datuk Dr Zurinah Hassan, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala), Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Datuk Dr Anwar Ridhwan serta persembahan khas Datuk M. Nasir.

Terdahulu, baginda berkenan menyempurnakan pelancaran buku antologi puisi “Putrajaya Karya Pascamerdeka”, terbitan hasil kerjasama PPj dan DBP yang menghimpunkan 25 karya puisi bertemakan Putrajaya hasil pertandingan Sayembara Mencipta Puisi Putrajaya 2019, yang diadakan Oktober lepas.

Buku itu juga menghimpunkan karya sumbangan sasterawan negara antaranya Datuk Seri A. Samad Said, Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Datuk Dr Anwar Ridhwan.


Raja Permaisuri Agong turut berkenan mengurniakan hadiah kepada juara Sayembara Mencipta Puisi Putrajaya 2019, Muhamad Syazwi Sholihin, pemenang tempat kedua Muhammad Azri Store Pipe dan pemenang tempat ketiga Rohana Karno.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya berkata Malam Deklamasi Puisi Putrajaya merupakan acara pembuka tirai bagi Sambutan Jubli Perak Putrajaya yang akan diraikan dengan penuh kemeriahan sepanjang tahun ini.

“Seluruh warga Putrajaya khususnya dan Malaysia amnya pasti tertunggu-tunggu detik sambutan penuh bersejarah ini kerana Putrajaya merupakan simbol kejayaan perancangan dan pembangunan bandar yang begitu ampuh dan membanggakan negara.

“Justeru itu, Sambutan Jubli Perak Putrajaya yang julung-julung kali diadakan ini turut memberi fokus kepada pemerkasaan bahasa kebangsaan Malaysia, pembudayaan seni sastera dan budaya yang menjadi jiwa sesebuah bangsa,” katanya. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button