Politik

Shahril Hamdan sedia tangani kerenah birokrasi mudahkan bantuan rakyat

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan memberi jaminan akan menyelesaikan masalah kerenah birokrasi yang dihadapi masyarakat berpendapatan rendah sering gagal mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu berkata, sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) beliau banyak menerima aduan daripada golongan susah di kawasan berkenaan yang mendakwa mereka susah mendapat bantuan JKM.

Lebih pelik katanya, ada di antara pemohon mendakwa permohonan mereka ditolak oleh JKM kerana rumah mereka dipasang Astro.

Beliau berkata, selain itu ada juga pemohon memberitahu pada awalnya permohonan mereka telah diluluskan tetapi dibatalkan di saat-saat akhir.

“Banyak lawatan rumah ke rumah yang saya lakukan memberi pendidikan dan salah satunya saya nampak ialah birokrasi JKM yang mungkin proses dan prosedur untuk mendapat bantuan itu sedikit sukar dan rumit.

“Sebagai contoh rumah mereka yang mempunyai Astro memang susah sikit nak dapat bantuan sedangkan mungkin Astro itu dipasang di rumah oleh anak mereka.

“Adanya Astro tidak mencerminkan kedudukan kewangan keluarga isi rumah di situ. Ini merupakan salah satu perkara dasar yang hendak saya laksanakan bagi mencari jalan mempermudahkan proses permohonan khusus kepada golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih di Kampung Rembia, Solok Jeram di sini hari ini.

Shahril berkata, jika beliau diberi mandat oleh penduduk di Parlimen Alor Gajah, masalah tersebut yang tidak disenaraikan dalam 13 tawaran manifestonya akan diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan JKM di peringkat pusat dan daerah bagi mencari jalan bagaimana proses dan prosedur bantuan tersebut dapat dipermudahkan selain isu pemilikan Astro bukan menjadi kriteria untuk ditolak oleh agensi tersebut.

Jelasnya lagi, permohonan siapa yang layak atau tidak juga perlu dikemaskini dengan data terbaharu.

“Mungkin niat penjawat awam itu betul tetapi kami yang bergelumang dengan masyarakat lebih tahu realiti sebenar. Kenapa tidak prosedur bantuan JKM dipermudahkan supaya lebih mesra rakyat,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button