Politik

Kesal pengundi pos dibenar mengundi awal

Pakatan Harapan (PH) Melaka melahirkan rasa kesal berhubung kejadian seorang pengundi pos dibenarkan sebagai pengundi awal di salah satu pusat pengundian bagi kerusi Parlimen Alor Gajah, di sini semalam.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, beliau melahirkan rasa terkejut bagaimana kecuaian itu boleh berlaku dan meminta pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk lebih fokus agar perkara itu tidak berulang pada hari pengundian Sabtu ini.

Menurutnya, kejadian tersebut disedari ejen tempat mengundi semasa bertugas di pusat pengundian awal (PPA) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal dekat sini.

Beliau berkata, ejen tersebut telah bertindak memaklumkan perkara itu kepada ketua tempat mengundi (KTM), namun terkejut apabila diberitahu pusat itu tidak mempunyai senarai pengundi pos.

“Atas desakan ejen tempat mengundi kami, KTM telah menghubungi Pegawai SPR. Selepas diberikan senarai, KTM akhirnya mengakui bahawa pengundi tersebut telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pos.

“Apa yang lebih dikesalkan adalah pengundi tersebut telah membuang undi ke dalam peti undi.

“KTM berjanji bahawa kertas undi tersebut akan dikenal pasti berdasarkan nombor siri dan akan dibuang daripada kotak undi pada sesi pengiraan nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Graha Amanah, Bukit Katil di sini hari ini.

Adly berkata, mana-mana individu yang telah berdaftar sebagai pengundi pos tidak dibenarkan menjadi pengundi awal selaras dengan Seksyen 27A(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya.

Menurutnya, KTM melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) (l) dan 3 (1) (0) dan juga Seksyen 4 (g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Tambah Adly lagi, beliau telah meminta ejen tempat mengundi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah selepas proses pengundian awal selesai.

“Sejurus laporan dibuat polis bertindak untuk memanggil pengundi tersebut bagi memberi keterangan,” ujarnya.

Tegasnya, kecuaian seperti itu tidak seharusnya berlaku dan mempersoal mengapa nama pengundi pos tidak dikeluarkan terus daripada senarai pengundi awal diberikan SPR. – SM

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button