Uncategorized

Hilang kepercayaan kepada PKR, 60 penyokong beralih arah sokong GTA

Seramai 60 penyokong PKR di Bakar Arang, Sungai Petani beralih arah memberi sokongan untuk memenangkan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi kerusi Parlimen Sungai Petani pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ganggeswaran yang mewakili kumpulan itu berkata, dia dan rakan-rakannya membuat keputusan itu selepas hilang kepercayaan terhadap PKR dengan alasan parti itu telah lari daripada perjuangan asal serta meminggirkan mereka yang selama ini banyak berkorban masa, wang dan tenaga.

“Kita tidak lagi yakin perjuangan PKR kerana pucuk pimpinan parti bukan berjuang untuk membela nasib kami sebaliknya lebih berpolitik untuk kepentingan diri.

“Lebih dua penggal kami menjadi penyokong tegar PKR di sini, namun pemimpinnya tidak menghargai usaha dan penat lelah kami membantu menaikkan parti itu,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Pekan Baru.

Menurutnya, mereka sepakat untuk membantu kempen dan meraih undi kepada calon Pejuang, Datuk Marzuki Yahaya selepas mendapati perjuangan parti itu dan Gerakan Tanah Air (GTA) lebih menjurus ke arah memperjuangkan agenda memajukan rakyat tanpa mengira bangsa.

“Kami tahu dalam GTA banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi salah satunya adalah parti Pejuang yang konsep kepartiannya berteraskan agenda menjaga kebajikan rakyat.

“Walaupun GTA dikhususkan kepada orang-orang Melayu, namun tidak salah kami memberi sokongan kepada pemimpin yang dilihat boleh menang yang kemudiannya diharap akan membantu menjaga kepentingan penyokongnya,” katanya.

Pada majlis itu, Ganggeswaran menerima baju dan bendera yang berlogo Pejuang daripada Marzuki sebagai tanda simbolik akan menyokong parti berkenaan dalam PRU15.

Sementara itu, Marzuki berkata, ikrar yang dibuat penyokong tegar PKR di hadapannya itu memberi semangat untuk beliau melipat gandakan usaha memenangi hati pengundi di Parlimen itu.

“Sebagai calon kali pertama bertanding di sini saya amat memerlukan sokongan daripada pelbagai kaum terutamanya yang memahami agenda Pejuang.

“Saya anak jati Sungai Petani yang berasal dari Kampung Petani Jaya dan berhasrat untuk menabur bakti sebagai wakil kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira warna kulit mereka,” katanya.

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button