Shahidan Kassim isi kerusi kosong Parlimen Arau
PAKATAN Nasional (PN) Perlis telahpun bersiap sedia mengosongkan kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU). Ini sekaligus memberi petanda yang semakin jelas bahawa PN sebenarnya telah “membuka jalan” kepada Datuk Seri Shahidan Kassim untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut bagi membolehkan beliau bertanding.
Sekalipun Shahidan masih bermain teka-teki mengenai parti manakah yang akan dipilihnya apabila mengumumkan akan bertanding melawan Barisan Nasional (BN) malam tadi, ramai yang menjangkakan Shahidan lebih cenderung ke arah PN.
Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli apabila calon yang dicadang bertanding di Parlimen Arau iaitu Rusydan Rusmi sudi mengosongkan kerusi itu pada saat-saat akhir.
Mohd Shukri berkata, Rusydan pula akan bertanding di Parlimen Padang Besar manakala calon asal yang dicadangkan iaitu Baharuddin Ahmad pula dengan rela hati mengundurkan diri.
Katanya, Baharuddin yang bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Santan pada PRU14 sanggup berbuat demikan asalkan dapat memberikan kemenangan pada PN.
Kata Shukri, PAS Perlis sememang tiada halangan untuk memberi laluan kepada Shahidan.
“PAS lama ingin bekerjasama dengan Shahidan demi untuk perpaduan ummah tanpa mengira bangsa atau agama,” jelas beliau.
Beliau berkata, pihaknya kini menunggu “lampu hijau” dari PN Pusat sebagai pembuat keputusan.
“Shahidan sangat berpengalaman dalam politik dan kita percaya dengan pengaruhnya yang kuat itu akan membantu kepada kemenangan PN,” kata Pesuruhjaya Pas ini lagi.
Mohd Shukri berkata, pengumuman calon Parlimen Arau dijangka akan diumumkan serentak dengan pengumuman calon PN di Terengganu sama ada malam ini atau malam esok. – SM