MahkamahNasional

Kes perbicaraan Zahid Hamidi ditangguh ke tahun depan

TENTU melegakan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menangguhkan perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada tahun hadapan.

Keputusan dibuat oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah yang turut menetapkan perbicaraan didengar selama 21 hari.

Tarikh-tarikh itu adalah pada 16 hingga 19 Januari tahun depan, 30 dan 31 Januari, 7 hingga 9 Februari, 27 hingga 30 Mac, 10 hingga 13 April dan 15 hingga 18 Mei.

Memetik laporan Utusan, Mahkamah melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan hari ini, esok serta 9 dan 10 November selepas membenarkan permohonan peguambela utama Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Hisyam memaklumkan, seorang saksi pembelaan daripada Bagan Datuk yang sepatutnya memberi keterangan hari ini tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan, tidak sihat.

Beliau turut memohon mahkamah penangguhan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung rakaman pernyataan saksi yang dijadualkan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 14 November ini.

Zahid merayu keputusan Hakim Collin pada 9 Mei lalu yang menolak permohonan beliau untuk mendapatkan rakaman kenyataan 15 saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes berkenaan.

Antara pernyataan saksi yang dimohon ialah rakaman kenyataan Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi yang juga saudara kandung Zahid Hamidi kerana mempunyai kaitan dengan pertuduhan ke-11.

Tanpa dokumen itu, pembelaan dalam dilemma sama ada akan memanggilnya sebagai saksi atau tidak.

Mahkamah ketika itu berpendapat, sebarang pendedahan yang dibuat oleh saksi dalam keterangan mereka akan prejudis dan menimbulkan rasa curiga dalam kalangan orang awam kerana keterangan tersebut dibuat dalam keadaan sulit.

“Mendedahkan keterangan sulit itu akan menyebabkan bakal-bakal saksi keberatan untuk memberi keterangan dan boleh mengganggu siasatan pada masa hadapan,” kata Hakim Colin.

Dalam prosiding hari ini, Hisyam menyatakan keptusan rayuan tersebut penting bagi membantu pihak pembelaan menentukan jumlah dan urutan saksi-saksi pembelaan yang akan dipanggil memberi keterangan kelak.

“Kami memerlukan panduan daripada Mahkamah Rayuan sama ada pihak pembelaan dibenarkan mendapatkan pernyataan saksi atau sebaliknya. Kami dalam dilema,” kata Hisyam.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar prosiding soal balas saksi pembelaan keenam, Datuk Mohd. Kamal Abdullah, 65, yang juga Pegawai khas Ahmad Zahid.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan bekas timbalan perdana menteri itu yang berhadapan dengan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Beliau didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd. – SM

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – SM

 

(Visited 481 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button