PRK
Trending

Shafie, Warisan tekad bina Malaysia yang stabil

Bukan hanya untuk membina Parti Warisan Sabah (Warisan) serta memperjuangkan nasib rakyat negeri itu, tetapi lebih utama lagi bagi presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal adalah tekad merealisasikan pembinaan Malaysia yang stabil.

Bercakap kepada Suara Merdeka di Kampung Simbulok, Membakut, kata Ketua Menteri itu, ia penting tentang bagaimana cita rasa rakyat di Sabah berbeza dengan rakyat di negeri-negeri lain.

“Inilah yang kita susun atur dengan memastikan gas dan kayu balak dihasilkan…pelancongan terbesar di sini (Sabah antaranya Pantai Pimping) bagaimana kita nak imbangi.

“Saya sedar ada negeri yang miskin sudah `tersumbat’, maka kita (Sabah) kongsi bersama.

“Di Sabah, jalan raya, sekolah rendah dan menengahnya masih (berdindingkan) papan…kita nampak dengan mata kepala kita sendiri, jangan tutup mulut kita semata-mata bila kita nampak, kita takut jawatan dipecat, diambil tindakan…jangan (begitu).

“Saya sendiri sudah alaminya dalam politik (dipecat dari UMNO kerana memperjuangkan kebenaran)…saya tak takut dari segi keadaan dengan menyuarakan walaupun membabitkan kedudukan, jawatan. Insya-Allah ada ganjarannya.,” kata beliau.

Dalam hal ini, Mohd. Shafie berkata, beliau nampak keprihatinan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyelesaikan tuntutan semakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan mempersetujui 17 daripada 21 perkara setakat ini.

“Dulu tak pernah dilakukan, kini tak lagi berbangkit. Saya tak mahu nanti berbangkit lagi 21 perkara sehingga menyebabkan rakyat Sabah dan Sarawak berasa terpinggir,” katanya.

Mengenai survival Warisan, beliau menaruh keyakinan tinggi selagi parti itu terus berpaut pada harapan rakyat antaranya golongan nelayan yang jika diabaikan, Warisan tidak akan bertahan walau belum sepenggal pun.

“Kalau harapan setiap kaum ini berbeza dengan orang Melayunya masih dengan Islamnya, Cina dan India dengan perjuangan kaum masing-masing…itu belum lagi dalam UMNO masuk bertanding masih laungkan hanya perjuangkan Melayu, MCA suarakan Cina, kalau tidak, bertanding macam gagal, maka ini semua tidak akan menjayakan kestabilan negara.

“Sebab itu marilah kita satukan rakyat…masalah agama (selesaikan) dengan tuhan, masalah kaum dengan bangsa kita, jangan jadikan isu.,” kata beliau.

17 perkara tuntutan semakan MA63 yang telah mendapat persetujuan Pusat adalah:

(i) Tuntutan Duti Eksport Balak Dan Hasil Hutan Di Sabah;

(ii) Pengedaran Gas Dan Kuasa Kawal Selia Elektrik Dan Gas Di Sarawak Dan Sabah;

(iii) Pelaksanaan Kerja Raya Persekutuan Di Sarawak Dan Sabah;

(iv) Tenaga Buruh Di Sarawak Dan Sabah;

(v) Kuasa Negeri Ke Atas Isu Kesihatan Di Sarawak Dan Sabah;

(vi) Pentadbiran Pulau Sipadan Dan Ligitan Di Sabah;

(vii) Isu Pertanian Dan Perhutanan;

(viii) Obligasi Kewangan Persekutuan Di Bawah Senarai Bersama;

(ix) Semakan Semula Pemberian Khas;

(x) Penangkapan Ikan, Perikanan Laut dan Muara;

(xi) Tanah Diberi Hakmilik Kepada Persekutuan di Negeri;

(xii) Kuasa Baki Perundangan Mengenai Alam Sekitar dan Pelancongan;

(xiii) Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan (Pertambahan Perjawatan);

(xiv) Penurunan Kuasa Kepada Mahkamah Sabah dan Sarawak;

(xv) Bidang kuasa Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Autonomi Pentadbiran Mahkamah Sabah dan Sarawak, dan Pengalaman Kehakiman Borneo di Mahkamah Rayuan Bagi Mendengar Kes Difailkan di Borneo;

(xvi) Pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman; dan

(xvii) Duti Setem Yang Dikenakan Ke Atas Instrumen Pemindahan, Caj, Menyewakan Tanah Di Bawah Ordinan Tanah Sarawak Dan Sabah.

– SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button