Travel

Mengapa Sabah patut menjadi pilihan perjalanan anda tahun Ini?

NEGERI permata, Sabah Borneo Malaysia, adalah destinasi pelancongan yang menawarkan gabungan unik budaya yang kaya, pengembaraan yang mendebarkan, dan keindahan alam semula jadi yang tiada tandingan. Sama ada anda seorang pelancong dari luar negara yang ingin menjelajah Asia Tenggara, atau pelancong tempatan yang mahu lebih mengenali keindahan negeri sendiri, Sabah pasti memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Tahun Baru ini, jika anda sedang mencari destinasi yang sempurna untuk bercuti atau memulakan pengembaraan baru, Sabah adalah jawapannya. Dengan pelbagai pilihan destinasi dan aktiviti menarik, negeri ini mempamerkan keajaiban alam, budaya, dan tradisi yang sukar ditandingi. Berikut adalah senarai lokasi dan acara yang mesti anda kunjungi untuk menikmati yang terbaik daripada Sabah.

Lembangan Maliau terkenal dengan Air Terjun Maliau

Terletak di tengah-tengah Sabah, Borneo Malaysia memiliki keajaiban semula jadi yang sebenar iaitu
Lembangan Maliau atau dikenali Maliau Basin. Dikatakan sebagai ‘The Lost World of Sabah’, Lembangan
Maliau ialah hutan hujan yang luas, terpencil dan dipenuhi panorama menghijau yang terletak di Tawau.
Lekukan unik berbentuk piring, dikelilingi oleh tebing, mewujudkan ekosistem serba lengkap dengan
biodiversiti yang luar biasa.

Lembangan Maliau terkenal dengan Air Terjun Maliau – 7 tingkat berwarna tannin, dan Tasik
Linumunsut iaitu tasik kawah yang indah tersembunyi didalam lembangan. Disebabkan lokasinya
yang terpencil, Lembangan Maliau juga merupakan syurga hidupan liar. Hutan hujannya yang tebal
adalah rumah kepada pelbagai spesies termasuk 300 spesies hidupan burung, primat mamalia, reptilia
dan amfibia, serta keajaiban botani seperti pokok Agathis yang tinggi dan kepelbagaian orkid.

UTAN Rainforest Lodge

Sebuah kawasan mesra alam yang baharu di Sabah, UTAN Rainforest Lodge ialah sebuah penginapan
eko yang luar biasa dan terletak di tengah-tengah Rizab Rimba Dara Sungai Kapur, berhampiran Rizab
Hidupan Liar Tabin yang terkenal di Lahad Datu.

Dibuka pada tahun 2023, UTAN Rainforest Lodge menawarkan peluang yang tiada tandingannya untuk
menyelami keindahan dan biodiversiti hutan hujan Borneo. Dikelilingi tumbuh-tumbuhan yang lebat dan
hutan bakau yang subur, Utan Rainforest Lodge menyediakan tempat percutian yang tenang dan semula
jadi, dimana anda boleh menikmati pengalaman pertemuan hidupan liar dan burung yang mengasyikkan.

Gunung Kinabalu

Walaupun Gunung Kinabalu sering mencuri tumpuan di Sabah, satu lagi puncak megah menanti anda yang
mencari pendakian yang lebih lasak dan mencabar, Gunung Trusmadi merupakan lokasi yang pernah
popular sebagai tempat memburu oleh penduduk tempatan.

Memiliki ketinggian 2,642 meter dari paras laut, Gunung Trusmadi ialah gunung kedua tertinggi di Sabah
dan Malaysia. Tidak seperti Gunung Kinabalu, Gunung Trusmadi menawarkan pendakian yang lebih curam
dan berbatu. Cabarannya terletak pada lereng yang curam dan rupa bumi yang sering berlumpur, menguji
ketahanan fizikal dan ketabahan mental.

Denai Gunung Trusmadi meredah hutan hujan yang subur, menawarkan gambaran kepelbagaian flora dan
fauna. Lerengnya adalah habitat kepada pelbagai tumbuhan dan haiwan, termasuk tumbuhan periuk kera
yang unik, burung berwarna-warni dan pelbagai mamalia.

Pulau Sipadan

Pulau Sipadan, terkenal sebagai salah satu destinasi menyelam utama dunia dan menerima pujian oleh
ahli oseanografi lagenda, Jacques Cousteau.

Pulau lautan ini merupakan syurga bagi kepelbagaian biologi marin, menarik minat penyelam dan peminat
snorkelling dari seluruh dunia. Seperti kebanyakan destinasi di Sabah, pembentukan geologi unik di pulau
Sipadan menyumbang kepada dunia marin yang luar biasa.

Landskap marin Sipadan menawarkan kaleidoskop warna dan tekstur yang menarik. Terumbu karang
dipenuhi dengan kehidupan seterusnya menjadikan ia lokasi dan habitat kepada pelbagai spesies ikan,
termasuk barakuda, ikan kakap dan jerung karang. Penyelam mungkin menemui penyu, pari manta dan
juga jerung kepala tukul dan menjadikan setiap penyelaman satu pengalaman yang unik dan tidak dapat
dilupakan.

Untuk memastikan kemampanan persekitaran bawah air Sipadan, penyelam dinasihatkan untuk
memiliki lesen selam Advanced Open Water sebelum memohon permit untuk melakukan aktiviti ini.

Sungai Kinabatangan

Sungai Kinabatangan merupakan sungai terpanjang di Sabah, Malaysia, mengalir melalui dataran
banjir yang luas, mewujudkan ekosistem yang unik dan penting. Dataran banjir ini, yang dahulunya
merupakan kawasan hutan hujan asli yang luas, kini menjadi mozek hutan, paya, dan tanah
pertanian seterusnya menawarkan gambaran keseimbangan yang halus antara aktiviti manusia dan
alam semula jadi.

Kinabatangan adalah syurga bagi biodiversiti, menyokong kehidupan pelbagai flora dan fauna
yang luar biasa. Monyet proboscis, harimau dahan, gajah borneo dan orang utan adalah antara
hidupan liar yang ada di Kinabatangan. Selain itu, sungai tersebut dipenuh dengan pelbagai jenis ikan,
reptilia dan burung-burung.

Pelayaran di sepanjang sungai selalunya memberi anda peluang untuk melihat hidupan liar Borneo Big
5 antaranya gajah Borneo, orang utan, monyet proboscis, burung kenyalang dan buaya tembaga.

Dengan lebih 35 kumpulan etnik dan kira-kira 200 kumpulan sub-etnik di Sabah, adalah mustahil untuk
mempelajari gabungan warisan budaya ini dalam masa yang singkat. Perkampungan Budaya Borneo
adalah perkampungan budaya terbesar di Sabah yang menawarkan pengalaman unik dan mengasyikkan
dalam pelbagai budaya orang asli Borneo.

Muzium hidup ini mempamerkan rumah tradisional, adat resam dan gaya hidup enam kumpulan etnik
yang berbeza di Sabah antaranya Murut, Lundayeh, Rungus, Kadazan Penampang, Bajau dan Dusun Papar.

Kampung budaya ini direka dengan teliti sama seperti persekitaran hidup asli setiap kumpulan etnik,
lengkap dengan rumah panjang tradisional, peralatan buatan tangan dan hiasan yang cukup kreatif.

Selain lawatan berpandu, anda juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan yang
menakjubkan dan berpeluang merasai makanan eksotik.

Mount Kinabalu International Climbathon

Mount Kinabalu International Climbathon ialah pertandingan pendakian tahunan yang merupakan acara
utama dalam kalendar acara Sabah. Climbathon ini terkenal dengan laluan yang mencabar dan
pemandangan yang menakjubkan di Gunung Kinabalu iaitu puncak tertinggi di Malaysia.

Dijadualkan pada Oktober 2025, perlumbaan Climbathon ini meliputi jarak sejauh 26 kilometer dengan
sebahagian besar melibatkan pendakian dan penurunan curam di kawasan sukar. Acara ini boleh disertai
oleh atlet elit dan pelari amatur dari seluruh dunia yang mencari cabaran yang unik dan tidak
dapat dilupakan. Jika anda memerlukan motivasi untuk meningkatkan kecergasan anda tahun ini,
boleh sahut cabaran ini!.

Kudat, Anda boleh menikmati suasana matahari terbenam yang mewarnai langit dengan cahaya indah!

Kudat, yang terletak di bahagian paling utara Sabah terkenal dengan pantai berpasir putih
yang menakjubkan. Lokasi ini terletak berhampiran dengan pantai Kalampunian dan Tanjung Simpang
Mengayau juga dikenali sebagai ‘Tip of Borneo’.

Ciri yang paling menarik di Tanjung Simpang Mengayau adalah lokasinya yang dramatik, dimana
Laut Celebes dan Laut Sulu bertemu. Ini mencipta landskap yang unik dengan tebing berbatu, pantai
yang bersih dan air yang jernih. Pada petang yang cerah, Tanjung Simpang Mengayau juga menyediakan
latar belakang yang menakjubkan untuk melihat matahari terbenam.

Tamu Besar Kota Belud adalah acara yang berlangsung secara tahunan. Diadakan pada bulan Oktober
setiap tahun, acara ini merupakan kemuncak utama dalam kalendar acara Sabah yang mampu
menarik ribuan pengunjung dari dekat dan jauh.

Tamu Besar ialah acara yang meriah dengan persembahan kebudayaan, sukan tradisional dan pasar yang
pelbagai. Ia adalah masa dimana masyarakat Bajau tempatan berkumpul untuk mempamerkan kekayaan
warisan mereka, daripada tarian tradisional dan muzik kepada kraftangan yang kreatif dan masakan yang
lazat.

Regatta Lepa

Regatta Lepa ialah pesta air meriah yang diadakan setiap tahun di pantai timur Semporna, Sabah. Ia
meraikan tradisi budaya yang kaya bagi kumpulan etnik Bajau Laut, juga dikenali sebagai Sea Gypsies. Suku
nomad yang unik ini mempunyai hubungan yang mendalam dengan laut, menjadi tukang bot dan nelayan
yang sangat baik dan tinggal diatas air. Regatta Lepa ialah pameran warisan maritim, kesenian budaya dan
semangat komuniti yang bertenaga.

Kemuncak Regatta Lepa yang paling menakjubkan ialah perarakan perahu ‘lepa’ yang direka dengan
indah dan berwarna-warni. Kapal layar tradisional ini, sering dihiasi dengan ukiran yang rumit dan
warna-warna terang, meluncur dengan gah di perairan, diiringi dengan tarian tradisional Bajau yang
berirama dan mempesonakan yang dikenali sebagai Igal-Igal.

Sabah dikenali sebagai tanah yang kaya dengan budaya, alam semula jadi dan pengalaman pengembaraan
dan menjadikannya sesuai untuk mereka yang ingin menerokai destinasi luar bandar.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang Sabah dan mendapatkan idea tentang perkara yang boleh
anda lakukan sepanjang 2025, ikuti kami di saluran media sosial atau layari www.sabahtourism.com.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button